suria

Tukang besi rentung bakar diri lepas gaduh

ALOR SETAR: Seorang tukang besi rentung setelah dikatakan membakar dirinya ekoran bergaduh dengan isterinya dalam kejadian di rumah mereka di Taman Abadi, Jalan Kuala Kedah di sini, malam tadi.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kota Star, DSP Mohd Feisal Libertus Abdullah, Ooi Chong Kian, 48, membakar dirinya menggunakan petrol di dalam bilik rumah mereka selepas pergaduhan itu kirakira 8.30 malam.

"Pasangan itu dipercayai bergaduh berpunca dari ugutan isterinya yang mahu bercerai sekiranya Chong Kian tidak memberikan wang untuk belanja menyambut Tahun Baru Cina," kata Mohd Feisal kepada pemberita hari ini.

Katanya, tukang besi itu juga didakwa mengugut hendak membakar isteri dan anaknya menyebabkan mereka keluar rumah mengikut pintu belakang untuk menyelamatkan diri.

Namun, isteri itu yang terlihat suaminya membakar diri, terus menjerit meminta tolong.

Bomba yang dipanggil tidak sempat menyelamatkan lelaki itu, tetapi berjaya memadam kebakaran di bilik rumah itu, kata Mohd Feisal.

Beliau berkata mayat tukang besi itu yang rentung ditemui bersama satu tong mengandungi baki petrol yang dipercayai digunakan untuk membakar dirinya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain