suria

MTUC: Pencen ganti KWSP tak sesuai

KUALA LUMPUR: Cadangan untuk menukar skim Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) kepada skim pencen bulanan bagi pekerja sektor swasta tidak sesuai memandangkan jumlah tabungan kebanyakan pekerja terlalu kecil, kata Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) hari ini.

Setiausaha agungnya G. Rajasegaran berkata jumlah tabungan sebahagian besar daripada tujuh juta kakitangan sektor swasta dengan KWSP semasa bersara pada usia 55 tahun kurang daripada RM50,000.

"Katakanlah seseorang itu akan hidup selama 20 tahun lagi setelah bersara, dan jika jumlah simpanannya dibayar secara ansuran bulanan bukan secara sekali gus, dia akan hanya menerima sekitar RM214 sebulan," katanya kepada Bernama hari ini.

Jumlah itu sudah pasti tidak mencukupi bagi menyara kehidupan pesara terbabit, kata Rajasegaran bagi mengulas kenyataan Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam bahawa kabinet telah memberi lampu hijau kepada kementerian itu untuk mengkaji kemungkinan menukar skim KWSP kepada skim pencen bagi kakitangan sektor swasta. Katanya cadangan itu pernah dibincangkan antara MTUC dan KWSP lebih 15 tahun lepas tetapi tidak ada sebarang keputusan dicapai hingga sekarang.

Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) berpendapat bahawa bagi menjadikan cadangan berkenaan berdaya maju, kerajaan perlu memberi pilihan kepada pekerja swasta sama ada untuk mengeluarkan simpanan mereka secara sekali gus atau secara bulanan.

Pengarah eksekutifnya Shamsuddin Bardan berkata oleh kerana simpanan dalam KWSP adalah milik pekerja maka mereka berhak membuat apa saja mengenainya dan kerajaan tidak boleh membuat keputusan untuk mereka. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain