suria

Rang undang-undang perbaiki polis dibentang Februari

KUALA TERENGGANU: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan membentangkan rang undang-undang berkaitan pasukan polis dan pihak penguatkuasaan pada persidangan Parlimen bulan depan.

Beliau berkata rang undang-undang itu adalah yang terakhir daripada tiga perubahan membabitkan tiga institusi iaitu kehakiman, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan polis, yang dijanjikan sebelum ini.

"Tiga undang-undang ini banyak penting kepada orang kita. Orang ingat Pak Lah tak boleh buat, banyak susah ini, Pak Lah tak boleh buat. Tapi saya kata tak apa, kita buat juga sebab ini untuk rakyat.

"Macammacam diorang kata mahu kasi saya susah hati. Tapi pemimpin tak boleh susah hati, anda mesti prihatin, tapi tak boleh susah hati sebab nanti tak boleh buat kerja," katanya berucap di hadapan masyarakat Tionghua di sini, hari ini.

Abdullah berkata kejayaan membawa dua rang undang-undang iaitu Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pelantikan Hakim ke Parlimen dan kemudian diluluskan adalah bukti kesungguhan kerajaan untuk melaksanakan reformasi itu.

Walaupun ada pelbagai halangan semasa mahu membawa kedua-dua rang undang-undang itu, Abdullah berkata kerajaan berusaha mencari jalan untuk membentangkannya kerana kerajaan serius mahu membanteras rasuah dan meningkatkan ketelusan.

"Kalau ada pandangan yang bertentangan kita kena kendalikan. Pembangkang adalah pembangkang. Mereka bangkang dan kita kena pertahan diri," kata beliau. Perdana Menteri juga berjanji untuk melaksanakan semua reformasi yang dijanjikannnya itu sekalipun selepas bersara.

Abdullah yang tiba di Terengganu semalam mengakhiri lawatannya dengan bersarapan pagi bersama pengundi Cina pada pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu, di sini sebelum berlepas pulang ke Kuala Lumpur.

Semalam, Abdullah merasmikan majlis peletakan batu asas Kompleks Pakar Materniti dan Kompleks Psikiatri Kesihatan Mental Hospital Sultanah Nur Zahirah, sebelum bertemu dengan belia Terengganu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain