suria

Kastam rampas rokok,minuman keras bernilai RM662,000

IPOH:Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Perak berjaya merampas pelbagai jenis minuman keras dan rokok yang diseludup dari negara jiran bernilai RM662,000 termasuk cukai dalam satu serbuan di sebuah gudang di sini semalam.

Pengarah Kastam negeri Dzulkarnain Abdul Rahman berkata rampasan itu dibuat selepas pihaknya telah menyerbu sebuah gudang di kawasan perindustrian Menglembu di sini pada pukul 1 tengah hari.

Bagaimanapun, katanya, tiada sebarang tangkapan dibuat kerana seorang pekerja warga asing di gudang itu berjaya melarikan diri ketika serbuan dilakukan.

"Hasil pemeriksaan kita menemui sebanyak 69,168 tin minuman keras bernilai RM120,000 dengan jumlah cukai dianggarkan RM360,000 dan 18,000 peket rokok putih bernilai RM42,000 dengan jumlah cukai RM140,000," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau juga meminta orang ramai memberi kerjasama kepada Kastam dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan dengan menghubungi Kastam Bahagian Pencegahan Perak di talian 05-5274322 atau talian bebas tol Kastam 1-80-88-88-55.

Jabatan Kastam memberi jaminan bahawa identiti setiap pemberi maklumat akan dirahsiakan dan ganjaran dalam bentuk wang tunai akan diberikan bagi setiap maklumat yang berjaya menghasilkan rampasan, katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain