suria

Pejabat sementara Imigresen Thai di Golok dibom

GOLOK:Sebuah kontena yang akan dijadikan pejabat sementara Jabatan Imigresen Thailand dibom hari ini oleh kumpulan tidak dikenali berhampiran pintu masuk pemeriksaan Malaysia-Thailand di Jambatan Golok di sini.

Timbalan Konsul Besar Thailand di Malaysia Niran Boonjit berkata insiden itu berlaku kira-kira 7.30 pagi dan tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku kerana kontena itu kosong.

"Kontena itu akan digunakan oleh Jabatan Imigresen kami sebagai pejabat sementara di pintu masuk pemeriksaan itu. Mujurlah ia masih belum digunakan sebagai pejabat dan ketika ini diletak di tepi jalan.

Oleh itu, apabila bom meletup, tidak ada sesiapa berhampiran tempat itu dan tiada seorang pun yang cedera. Polis Thailand telah membuat kepungan di keliling kawasan itu untuk siasatan," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, beberapa jam kemudian, pintu masuk sempadan di Golok beroperasi seperti biasa bagi membolehkan orang ramai masuk dan menyeberang ke Malaysia. Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi ketika dihubungi berkata polis Malaysia diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga ekoran perkembangan itu dan mengambil beberapa langkah bagi memastikan keselamatan di sempadan negara.

"Bagaimanapun, kami masih berhubung dengan polis Thailand untuk mendapatkan maklumat lanjut risikan berkaitan keadaan semasa," katanya.

Beliau berkata setakat ini, polis belum menerima sebarang maklumat sama ada terdapat warga Malaysia yang tercedera dalam insiden itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain