suria

Parlimen: Lobi badan dunia hentikan konflik Gaza

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen parti pemerintah dan parti pembangkang, hari ini mahu kerajaan mengambil tindakan lebih berani dan lebih konkrit untuk melobi badan dunia bagi menghentikan serangan rejim Israel ke atas Gaza.

Berhubung cadangan penubuhan tentera pengaman dalam kalangan negara Islam, Dr Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) berkata sudah tiba masanya Malaysia mewujudkan pelobi sendiri dalam Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi tujuan itu.

"Ini boleh dilaksanakan sebagai tekanan kepada Amerika (sekutu Israel) dan PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu)," katanya ketika membahaskan usul Mengecam Serangan Rejim Zionis Israel ke atas Wilayah Gaza pada sidang khas Dewan Rakyat.

Usul itu dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Dr Puad yang juga Ketua Penerangan Umno Johor turut mencadangkan Kementerian Luar menubuhkan kaukus Parlimen mengenai Palestin untuk membantu perjuangan rakyat negara itu melalui suara perundangan.

Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) berkata kerajaan perlu mempelopori usaha mempengaruhi masyarakat dunia untuk menstruktur semula Majlis Keselamatan PBB yang gagal menyelesaikan konflik di wilayah Gaza.

"Tak boleh biar lima negara kuasai negara lain... berat sebelah," katanya.

Hujah Bung Mokhtar disokong anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir yang menyifatkan Majlis Keselamatan PBB, OIC dan Liga Arab "tiada taring" dan hilang kuasa.

Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat (BN-Pandan) berkata PBB bukan sahaja gagal memainkan peranannya, malah memberikan peluang kezaliman terus berlaku di Palestin.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam (BN-Segamat) berkata Malaysia perlu menggunakan kekuatan dan pengaruhnya dalam kalangan negara Islam untuk membantu menamatkan serangan rejim Israel di Palestin.

"Dewan yang mulia ini perlu menghantar mesej kepada dunia bahawa kekejaman Israel tidak diterima di seluruh dunia," kata Subramaniam yang juga Setiausaha Agung MIC.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng (DAP-Bagan), yang juga Setiausaha Agung DAP pula berkata kerajaan perlu memainkan peranan proaktif dalam konflik di wilayah Gaza selain meminta Amerika Syarikat selaku kuasa besar menyelesaikan konflik itu.

Sementara itu, Datuk Ibrahim Ali (Bebas-Pasir Mas) mencadangkan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai wakil Malaysia untuk berunding dengan negara Arab bagi menyelesaikan konflik di Palestin.

Ini kerana Dr Mahathir mempunyai pengalaman, pengaruh dan hubungan baik dengan badan-badan antarabangsa mewakili rantau itu seperti Liga Arab, katanya.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim (PKR-Bandar Tun Razak), yang juga Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor mencadangkan Kumpulan Tokoh-tokoh Terkemuka dihantar menemui pemimpin di Indonesia dan Brunei bagi membincangkan pelan tindakan untuk menyelesaikan konflik di Gaza.

Kumpulan itu dianggotai Perdana Menteri, Ketua Pembangkang dan Menteri Luar.

Datuk Halimah Mohd Sadique (BN-Tenggara) berkata apa yang penting, masyarakat antarabangsa perlu mempengaruhi bakal presiden Amerika Syarikat Barack Obama untuk mengubah dasar luar negara kuasa besar itu terhadap sekutunya, Israel.

"Selagi Amerika Syarikat tidak ubah, Israel tidak akan ubah dan bumi Palestin juga tidak akan berubah," kata Halimah yang juga Ketua Wanita Umno Johor.

Sidang khas itu turut dihadiri 32 wakil kedutaan asing di negara ini. BERNAMA

Artikel Lain