suria

Malaysia kesal tindakan keterlaluan Israel - Najib

KUALA TERENGGANU:Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini melahirkan rasa kesal Malaysia terhadap tindakan keterlaluan dan tidak berperikemanusiaan Israel yang berterusan menyerang Semenanjung Gaza.

Beliau berkata tindakan ketenteraan yang diambil rejim Zionis sejak malam Sabtu lalu amat tidak seimbang dengan apa yang dialami mereka, tambahan pula mereka sendiri yang mencabuli gencatan senjata sehingga memaksa Hamas mengangkat senjata.

"Kita amat kesal kerajaan Israel mengambil tindakan yang bersifat keterlaluan berbanding dengan apa yang telah dialami mereka. Sepatutnya, dalam gencatan senjata mereka (Israel) benarkan kegiatan kemanusiaan berjalan dengan baik, umpamanya pekerjaan dapat dilakukan seperti biasa, bantuan ekonomi berjalan dan kemudahan asas dapat dibekal.

"Dalam keadaan kehidupan penduduk Gaza terhimpit, sebab itulah Hamas mendapat sokongan dan membuatkan Hamas mengambil tindakan membedil kawasan Israel, tetapi bedilan mereka jika dibandingkan dengan jumlah terkorban (di pihak Israel) setakat ini, jauh tidak seimbang," katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan tertutup dengan Ketua-ketua Cawangan Umno Bahagian Kuala Terengganu di Dewan Tunku Abdul Rahman, di sini, Isnin.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas serangan berterusan Israel terhadap Semenanjung Gaza, yang menyebabkan kemusnahan dan jumlah kematian mencecah 510 orang hari ini.

Najib berkata beliau percaya siri kekerasan terbaru yang dilakukan rejim Israel itu bukan bertujuan untuk menguji pendirian presiden baru Amerika Syarikat Barack Obama.

"Saya tak lihat sedemikian, barangkali ada faktor dalaman (yang mendorong serangan dilakukan), sebab mereka tahu sokongan Amerika Syarikat terhadap mereka tidak berubah, sebab itu mereka berani mengambil tindakan seperti yang mereka lakukan.

"Ini juga menunjukkan bahawa kerajaan Israel mengamalkan tindakan tidak ada perikemanusiaan sama sekali," katanya. BERNAMA

Artikel Lain