suria

Perhimpunan PAS di Kedutaan AS kutuk serangan Israel

PETALING JAYA: Dewan Pemuda PAS akan mengadakan perhimpunan di hadapan kedutaan Amerika Syarikat (AS) bagi mengutuk serangan Israel terhadap penduduk Gaza yang mengakibatkan hampir 300 orang terkorban.

Perhimpunan yang bakal disertai oleh kira-kira 300 penyokong PAS dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam akan turut menyerahkan memorandum bantahan terhadap kekejaman tersebut serta menuntut supaya keganasan di Gaza dihentikan.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Salahuddin Ayub yang akan mengetuai perhimpunan tersebut berkata beliau akan menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil kedutaan AS kira-kira pukul 11 pagi esok.

"PAS dan NGO-NGO Islam yang lain amat mengutuk tindakan kejam tentera Israel tersebut dan mahu kekejaman tersebut dihentikan segera," katanya kepada mStar Online.

Tindakan PAS ini ekoran perkembangan terbaru apabila Israel melancarkan serangan ke atas Genting Gaza kelmarin yang mengorbankan sekurang-kurangnya enam lagi rakyat Palestin serta beratus-ratus lagi cedera selain memusnahkan harta benda.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam kenyataannya berkata Malaysia kesal dengan tindakan kejam Israel ke atas rakyat Palestin di Genting Gaza dan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengambil tindakan sewajarnya berikutan keganasan terbaru rejim Zionis itu.

Abdullah berkata masyarakat antarabangsa perlu membantu bagi mengembalikan keamanan di Gaza dan ia hanya boleh dilakukan melalui usaha perdamaian.

Serangan itu, merupakan kali kedua dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas rejim zionis melancarkan serangan udara ke atas perkarangan ibu pejabat polis Hamas di Genting Gaza, semalam yang menyebabkan hampir 290 rakyat Palestin maut, manakala 700 lagi cedera.

Salahuddin juga berkata keamanan di Gaza perlu dikembalikan kerana tindakan melampau tentera Israel itu telah menyebabkan banyak kematian dan kecederaan terhadap kaum wanita dan kanak-kanak yang tidak berdosa.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain