suria

Cadangan Perak beri hak milik pegangan kekal ditangguh

PUTRAJAYA: Cadangan kerajaan Perak untuk memberikan hak milik tanah pegangan kekal bagi Kampung Tersusun dan Kampung Baru di negeri itu tidak boleh dilaksanakan sehingga keputusan dicapai oleh Majlis Tanah Negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, Dasar Tanah Negara menetapkan bahawa pegangan untuk selama-lamanya hanya diberikan bagi maksud tujuan penggunaan Kerajaan Persekutuan untuk tujuan awam dan tujuan tertentu yang terhad.

Sehubungan itu, katanya Majlis Tanah Negara mengambil keputusan satu mesyuarat khas diadakan bagi tujuan membincangkan perkara itu dalam masa terdekat dan kertas kerja kerajaan Perak dibincangkan.

"Daripada segi dasar dan Perlembagaan negara, ia tidak boleh dibuat secara unilateral, ia mesti melalui Majlis Tanah Negara.

"Jadi, cadangan kerajaan negeri Perak tidak boleh dilaksanakan sehingga keputusan Majlis Tanah Negara," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tanah Negara ke64 di sini, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin yakin bahawa dasar kerajaan Perak untuk memberikan hak milik tanah pegangan bebas kepada penduduk Kampung Baru dan Kampung Tersusun tidak akan mendatangkan masalah kepada negeri itu pada masa depan.

Mohammad Nizar berkata, ini kerana ia hanya membabitkan saiz tanah yang kecil iaitu 6,000 hektar atau 0.01 peratus daripada jumlah keluasan tanah di Perak.

Ia membabitkan 110,000 hak milik iaitu 60,000 kepada Kampung Tersusun dan 50,000 bagi Kampung Baru dan pemberiannya akan dibuat secara berperingkat.

Najib berkata, kerajaan negeri Perak mempunyai alasan berhubung perkara itu tetapi apa jua alasan tidak boleh bertentangan dengan Dasar Tanah Negara yang diputuskan oleh Majlis Tanah Negara.

Katanya, ini kerana kewujudan majlis ini berasaskan kepada Perlembagaan Negara dan tujuannya untuk menyelaraskan Dasar Tanah Negara agar wujud keseragaman antara negeri-negeri.

Sementara itu, Najib berkata Sistem E-tanah akan diteruskan di dua buah negeri lagi iaitu di Negeri Sembilan dan Melaka mulai tahun depan selepas projek perintis di Pulau Pinang.

Beliau berkata, sekiranya projek ini berjalan dengan lancar dan memberi kesan, maka ia akan diperluaskan ke seluruh negara. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahar sah sertai PAS

Artikel Berikut

Artikel Lain