suria

Ramai sangsi keberkesanan suruhanjaya lantik hakim

KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman 2008 (JAC) yang dibentangkan di Parlimen untuk bacaan pertama Rabu lepas, terus mengundang perbahasan ramai mengenai kepentingannya kepada sistem kehakiman negara.

Beberapa kenyataan, termasuk yang bersifat provokatif, mulai kedengaran bukan sahaja di Parlimen malah sehingga melewatinya.

Kebimbangan ini timbul ekoran daripada kurangnya pemahaman berhubung hasrat JAC itu.

Beberapa kelemahan atau kekurangan mungkin kelihatan ketika ini, namun apa yang pasti ia akan diperbaiki bagi manfaat semua pihak.

Dalam menangani beberapa kebimbangan yang bangkitkan sehingga ini, pegawai-pegawai kerajaan yang faham dengan rang undang-undang berkenaan tampil untuk memberi penjelasan mengenai peruntukan-peruntukan yang diketengahkan.

Contohnya mereka memutuskan untuk menjawab komen Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad berhubung korum tujuh pesuruhjaya yang menurutnya tidak akan dapat diperolehi semasa mesyuarat pemilihan jawatan Ketua Hakim Negara atau Presiden Mahkamah Rayuan.

Menurut Abdul Hamid ini kerana kebanyakan calon bagi jawatan-jawatan tersebut adalah dari kalangan anggota suruhanjaya itu sendiri, menjadikan mereka terpaksa mengundurkan diri daripada berada dalam mesyuarat pemilihan itu.

Bagaimanapun pegawai-pegawai kerajaan yang faham mengenai perkara tersebut berkata senario itu sudah ditimbangkan.

Menurutnya Seksyen 13(5) Rang undang-undang menyatakan bahawa "sekiranya kuorum tujuh anggota itu tidak dapat dipenuhi disebabkan ada antara mereka yang tidak dapat menyertai mesyuarat pemilihan itu (contohnya kerana mereka sendiri menjadi calon ke jawatan tersebut), kemudian kuorum itu akan menjadi kurang daripada lima."

Abdul Hamid juga menyatakan dalam aspek pertimbangan calon bagi jawatan Ketua Hakim Negara, mesyuarat pemilihan mungkin akan hanya terdiri daripada seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan empat bukan hakim, memandangkan lain-lain pesuruhjaya mungkin akan menjadi calon sendiri, dan beliau bertanya adakah itu sebenarnya tujuan rang undang-undang tersebut.

Sebagai jawapan bagi persoalanan ini sumber kerajaan berkata, "Mesyuarat pemilihan bagi nama-nama yang terpilih bagi jawatan Ketua Hakim Negara, mungkin akan dianggotai seorang Ketua Hakim Negara, seorang hakim Mahkamah Persekutuan dan empat tokoh terkemuka."

"Individu ini perlu dibimbing oleh kriteria yang jelas, yang antaranya termasuk berintegriti, cekap, berpengalaman, memiliki karektor moral yang baik, tegas dengan keputusan, berkeupayaan membuat penghakiman tepat pada masanya, memiliki kemahiran menulis perkara berkaitan undang-undang dengan baik, mampu mengendalikan kes-kes dengan baik, sihat fizikal dan mental, sebagaimana yang ditetapkan Seksyen 23(2) rang undang-undang itu.

"Tujuan utama rang undang-undang ini adalah untuk membolehkan pesuruhjaya-pesuruhjaya itu, yang mereka sendiri adalah tokoh-tokoh terkemuka dan bijak, untuk membuat keputusan berdasarkan kepada kriteria berkenaan," menurutnya.

Majlis Peguam Malaysia pula semasa memuji rang undang-undang itu turut mengeluarkan kenyataan bahawa Perdana Menteri dilihat memiliki terlalu banyak kuasa dalam JAC, memandangkan tokoh-tokoh terkemuka itu juga dilantik oleh Perdana Menteri.

Majlis Peguam berpendapat perkara ini akan membawa kemungkinan besar peluang bagi Perdana Menteri memilih ahli politik atau bekas anggota badan eksekutif.

Merujuk kepada perkara ini, pegawai yang memahami JAC itu berkata tokoh-tokoh terkemuka itu perlu dilantik oleh Perdana Menteri, kerana jika tidak, ia akan menjadi 'ultra vires' kepada perlembagaan yang memberikan hak prerogatif Perdana Menteri dalam memberi cadangan-cadangan berhubung pelantikan hakim kepada Majlis Raja-raja.

Bagaimanapun dalam membuat pelantikan ini, Perdana Menteri perlu merujuk kepada banyak pihak yang terbabit, termasuk Majlis Peguam sendiri, dan juga badan-badan yang berkaitan, sebagaimana yang termaktub dalam Seksyen 5(1).

Pegawai itu juga berpendapat peruntukan tersebut jelas mempamerkan niat baik serta hasrat murni untuk berlaku adil dalam melantik tokoh-tokoh terkemuka itu, yang pastinya dihormati dan disegani ramai, demi memberi kredibiliti kepada JAC.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain