suria

Polis gagalkan cubaan empat lelaki rompak kedai emas

JITRA: Cubaan empat lelaki bersenjata merompak sebuah kedai emas di Pekan Jitra 2 di sini gagal apabila mereka menyedari kehadiran dua anggota polis di luar kedai itu.

Mereka bagaimanapun, melepaskan dua das tembakan ke arah anggota polis berkenaan sebelum melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Wira, kata polis.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Sawaludin Hamenuddin berkata dalam kejadian pada kira-kira pukul 5 petang itu, empat lelaki bertopeng meluru masuk ke dalam kedai emas berkenaan dan melepaskan beberapa das tembakan dalam kedai itu.

Beliau berkata kesemua tembakan yang dilepaskan perompak itu termasuk ke arah dua anggota polis yang kebetulan membuat rondaan di kawasan berhampiran kedai itu tidak mengenai sesiapa.

"Perompak itu sempat memecahkan cermin kedai menggunakan penukul namun tidak sempat mengambil barang kemas apabila seorang daripada mereka menyedari terdapat dua anggota polis di luar kedai emas itu," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sawaludin berkata keduadua anggota polis itu tidak dapat membalas tembakan kerana tempat kejadian dikerumuni orang awam yang ingin menyaksikan kejadian itu.

"Kami akan meneliti rakaman sistem kamera litar tertutup (CCTV) bagi mengesan suspek," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain