suria

Penerbangan MAS ke Mumbai beroperasi ikut jadual

KUALA LUMPUR: Penerbangan Malaysia (MAs) antara Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Mumbai, India, sehingga ini beroperasi seperti biasa, kata Pengarah Operasinya Datuk Tajuden Abu Bakar.

Beliau berkata penerbangan MH195 yang berlepas dari Mumbai pada pukul 11.55 malam tadi tiba di KLIA pada pukul 7.20 pagi ini, manakala penerbangan MH194 ke Mumbai hari ini juga beroperasi mengikut jadual dan akan berlepas dari KLIA pada pukul 8.05 malam.

"Kami sedang memantau keadaan di Mumbai dengan teliti selepas insiden serangan bom di bandar raya itu semalam, dan akan bekerjasama dengan pihak-pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan operasi penerbangan yang lancar," menurutnya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tajuden berkata sekiranya terdapat sebarang perubahan kepada jadual penerbangan semasa, pihaknya akan menghubungi para penumpang dan membekalkan maklumat terkini mengenainya kepada mereka.

"Kami juga menggalakkan penumpang-penumpang kami supaya menghubungi talian bebas tol yang beroperasi sepanjang masa 1 300 88 3000 untuk maklumat terkini," katanya. MAS mengendalikan penerbangan Boeing B777 pergi dan balik ke Mumbai setiap hari. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain