suria

Kami maafkan diakata ibu

SUNGAI BULOH: "Kami maafkan dia dan berharap dia akan berubah," demikian luahan hati seorang ibu yang cedera terkena tembakan rambang yang dilepaskan anaknya dalam kejadian di rumah mereka di Rawang tengah malam tadi.

Noriza Abdul Rahman, 45, tidak menyalahkan anak sulungnya itu yang dikatakan telah bertindak diluar kawalan dan berharap anaknya akan berubah selepas kejadian itu.

Dalam kejadian petang semalam anak lelakinya yang berumur 15 tahun tersebut melepaskan satu das tembakan secara rambang kerana berang dimarahi bapanya yang juga seorang anggota polis berpangkat Sarjan di Bandar Country Homes.

"Saya tak sangka dia akan bertindak demikian. Walaupun dia dan bapanya kerap bertikam lidah, tapi tak sampai perkara buruk berlaku," kata Noriza kepada pemberita yang sedang dirawat di Hospital Sungai Buloh.

Beliau bersyukur kerana tiada kecederaan parah yang dihadapi dan reda dengan tindakan yang akan dikenakan ke atas anaknya itu.

"Apa sahaja tindakan yang akan diambil ke atasnya saya reda dan berharap selepas ini dia akan berubah," katanya.

Anak sulungnya daripada empat beradik itu kemudiannya ditahan polis ketika sedang menunggang motosikal bersama rakannya di kawasan berhampiran rumahnya pada 12.15 tengah malam.

Polis turut menemui pistol jenis Glock 9mm yang digunakan remaja tersebut dalam kejadian itu, yang disimpan di sebuah rumah tumpangan berhampiran.

Ketika menceritakan detik cemas itu, Noriza berkata ketika itu beliau terdengar pertengkaran antara anak dan suaminya di dalam rumah.

"Bagi mengelakkan mereka berterusan bertengkar, saya minta suami saya berada di luar rumah, namun tak sangka anak saya bertindak naik ke atas rumah dan turun dengan membawa pistol milik bapanya lalu melepaskan tembakan," katanya.

Beliau yang cuba menghalang tindakan anaknya itu bagaimanapun telah terkena tembakan yang dilepaskan tersebut di bahagian belakangnya sehingga menembusi bahagian rusuk kanan.

"Saya hanya mampu menjerit Allahuakbar ... saya minta pistol yang dipegangnya tapi dia tak beri. Dia sempat mengangkat saya bersama bapanya ke dalam kereta sambil menjerit meminta pertolongan dari jiran," katanya.

Norizan yang bekerja sebagai jururawat di Pusat Perubatan Sentosa berkata anaknya itu kemudiannya melarikan diri sementara suaminya dengan pertolongan jiran menghantarnya ke hospital.

Suami Norizan yang enggan dikenali yang bertugas sebagai detektif di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya berkata beliau menyerahkan kepada polis untuk mengambil tindakan terhadap anaknya.

"Biarlah polis mengambil tindakan ke atasnya dan tindakan yang diambil itu perlu mengikut prosedur. Saya reda dengan sebarang tindakan yang akan diambil," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain