suria

Shah Rukh Khan akan berbaju Melayu terima pingat Datuk pada 6 Disember

MELAKA: Pelakon popular Bollywood, Shah Rukh Khan, telah bersetuju datang ke Melaka pada 6 Dis ini untuk menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran Datuk.

Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka Datuk Omar Kaseh berkata Shah Rukh Khan akan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada pukul 7.30 pagi dan akan berada di Melaka selama sehari.

Istiadat penganugerahan darjah berkenaan kepada Shah Rukh Khan akan disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Khalil Yaakob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini, pada 10 pagi, katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shah Rukh Khan, yang dilahirkan di New Delhi pada November 1965, adalah antara 758 penerima anugerah darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena ulang tahun ke70 hari lahir Mohd Khalil pada 11 Okt lepas.

Omar berkata bahawa pada majlis istiadat penganugerahan itu, Shah Rukh Khan akan berpakaian baju Melayu serba hitam dan bersongkok, satu-satunya artis Bollywood yang diberi penghormatan memakai busana baju kebangsaan yang pasti akan ditonton seluruh dunia.

Katanya seramai 1,000 orang akan dijemput ke majlis istiadat penganugerahan berkenaan dan ia terhad kepada jemputan sahaja.

Omar berkata Shah Rukh Khan akan turut melawat beberapa tempat terkenal di kawasan Melaka Bandaraya Warisan Dunia dan orang ramai boleh menemui pelakon itu di tempattempat berkenaan.

Katanya pelakon popular Bollywood itu dijadual melawat Menara Taming Sari pada 2.10 petang, menaiki beca ke jam besar melalui Jalan Quayside (2.25 petang), Eye On Malaysia (2.50 petang), pentas Jonker Walk (3.25 petang), menaiki bot dari Padang Nyiru ke Eye On Melaka (3.45 petang), kampung Morten (4.10 petang) dan bertemu peminat di konsert Jom Ke Melaka Bandaraya Warisan Dunia di Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (4.45 petang).

Beliau berkata Shah Rukh Khan kemudiannya akan ke KLIA untuk penerbangan balik ke Mumbai pada 8 malam hari sama.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain