suria

Imigresen cadang tarik lesen perniagaan majikan lindungi PATI

SEREMBAN: Majikan berhadapan kehilangan lesen perniagaan mereka jika didapati bersalah melindungi pekerja asing tanpa izin atau tanpa permit, kata Pengarah Penguatkuasa Jabatan Imigresen Datuk Ishak Mohamed.

Beliau berkata jabatan itu bercadang mengambil tindakan itu memandangkan kompaun yang dikenakan terhadap majikan yang melakukan kesalahan itu sebelum ini didapati kurang berkesan.

"Tahun 2007 sahaja kita kutip RM8.5 juta (kompaun) dan tahun ini kita kutip RM21 juta. Kaunter penguatkuasaan imigresen di Putrajaya sahaja tahun ini sudah kutip RM10 juta.

"Dia orang ini (majikan) memang mampu bayar...jadi tidak berkesan denda ini," katanya kepada pemberita selepas Seminar Pengambilan dan Pengurusan Pekerja Asing di sini hari ini.

Katanya jabatan itu akan mengemukakan cadangan menarik lesen perniagaan itu kepada kerajaan dalam tempoh terdekat untuk kelulusan dan sekiranya dibenarkan, jabatan itu akan bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana PBT yang berkuasa menarik balik lesen perniagaan.

Katanya, selepas melihat beberapa kelemahan tertentu, Jabatan Imigresen berpendapat penguatkuasaan kini perlu ditumpukan kepada majikan.

"Majikan ini selalu bagi alasan tidak tahu tetapi sebenarnya dia orang memandang remeh. Sebuah syarikat di Teluk Intan misalnya mengaji lebih kurang 100 orang pekerja asing walaupun mengesahkan syarikat itu hanya mempunyai 30 pekerja asing berpermit," katanya.

Katanya Jabatan Imigresen tidak akan lagi menggunakan pendekatan berlembut termasuk memberikan diskaun bagi kompaun terhadap majikan yang didapati bersalah melindungi dan menggaji pekerja asing tanpa izin kecuali yang menyerah diri.

Beliau berkata pada tahun lepas, sejumlah 58,882 pendatang tanpa izin dan 418 majikan ditangkap dan setakat tahun ini, sejumlah 60,823 pendatang tanpa izin dan 785 majikan ditahan dan dikenakan hukuman.BERNAMA

Artikel Lain