suria

Kasim Cha Tong, pembanteras cetak rompak mati ditembak di Sungai Golok

SUNGAI GOLOK: Peguam Kasim Cha Tong, yang terkenal sekitar 1980-an kerana tindakannya memerangi gejala cetak rompak, ditembak dari jarak dekat oleh dua penyerang di pekan Sungai Golok, malam kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 11.50 malam itu, bekas bekas pegawai polis dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) itu, ditembak menggunakan shotgun di rumahnya.

Kedua-dua penyerang berkenaan mengetuk pintu rumah Kasim dan apabila beliau membuka pintu, penyerang-penyerang berkenaan terus melepaskan tembakan.

Kasim yang ditembak di bahagian dada meninggal dunia di tempat kejadian, kata polis.

Kewarganegaraan kedua-dua penembak berkenaan tidak diketahui.

Mangsa yang turut dikenali sebagai Kasim Rattanawongse, 56, terkenal kerana gerakan membanteras aktiviti cetak rompak di Malaysia sekitar 1980-an.

Usaha beliau membanteras gejala cetak rompak pernah mendapat pujian American Music Copyrights Holders Association.

Ketua Polis Sungai Golok, Lt. Phamong Sall mengesahkan kejadian itu, tetapi hasil siasatan awal akan mengambil masa dua hari untuk diketahui.

Bagaimanapun beliau menolak kejadian itu ada kaitan dengan serangan kumpulan pemisah di selatan Thailand sejak kebelakangan ini termasuk pengeboman terbaru yang mencederakan 62 orang semalam.

Sungai Golok yang terletak di daerah Narathiwat, merupakan pekan kedua paling sibuk di sempadan Malaysia-Thailand.

Kasim memperoleh ijazah undang-undang dari Britain.

Beliau yang berasal dari Kelantan difahamkan telah memperoleh status pemastautin tetap Thailand.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain