suria

Politik wang: Mubarak mahu pengamal dikena hukuman berat

KUALA LUMPUR: Majlis Bekas-bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) Wilayah Persekutuan menggesa Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan lebih drastik termasuk memecat mana-mana pemimpin atau anggota parti yang terlibat dengan politik wang bagi menyelamatkan Umno daripada kehancuran.

"Apabila hancurnya Umno, maka dengan sendirinya kuasa politik Melayu akan lenyap dari bumi Malaysia," kata bendaharinya Datuk Abdul Rahman Sulaiman di sini hari ini.

Abdul Rahman, yang juga bekas Anggota Parlimen Parit Buntar, berkata tindakan seperti itu selaras dengan fasa 20.9 perlembagaan parti yang memperuntukkan hukuman iaitu diberi amaran, penggantungan hak dalam parti dan larangan bertanding untuk sebarang jawatan dalam parti atau manamana pilihan raya.

Katanya mesyuarat khas jawatankyasa Mubarak Wilayah Persekutuan pada minggu lepas bersetuju bahawa usaha memerangi rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran tata etika parti hendaklah diteruskan secara lebih gigih dan proaktif.

Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail baru-baru ini mengakui gejala politik wang sukar dibendung kerana ia sudah berakar umbi dalam parti.

Abdul Rahman berkata jawatankuasa Mubarak Wilayah Persekutuan merayu supaya anggota Lembaga Disiplin Umno terus berusaha dan tidak berputus asa dalam usaha membanteras gejala itu.

Beliau juga mencadangkan agar Umno menggunakan apa jua cara lain yang boleh difikirkan untuk membantu Lembaga Disiplin melicinkan tugas mereka, termasuk mendapatkan kerjasama daripada Badan Pencegah Rasuah, Polis Diraja Malaysia atau agensi penguatkuasa yang lain.

"Jika ini (tindakan berat) dilakukan, kita yakin ia dapat menakutkan mereka yang mempunyai kecenderungan untuk membabitkan diri dalam rasuah politik dan seterusnya membantu Lembaga Disiplin memperbaiki imej parti daripada terus tercalar," kata Abdul Rahman. BERNAMA

Artikel Lain