suria

Khairy tambah dua pencalonan hari ini

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Rembau yang juga Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini memperoleh dua lagi pencalonan, masing-masing dari bahagian Pasir Puteh dan Kubang Kerian, Kelantan menjadikan jumlah keseluruhan pencalonan yang diterimanya setakat ini ialah 47 pencalonan.

Bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo yang menjadi calon terakhir layak bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno setakat ini memperoleh 48 pencalonan termasuk dari bahagian Gua Musang yang sebelum ini telah mengadakan dua mesyuarat berbeza iaitu pada 23 Oktober dan 25 Oktober lepas.

Semalam, persoalan mengenai kesahihan dua mesyuarat Pemuda Umno Bahagian Gua Musang yang menimbulkan kekeliruan dan menunggu pengesahan statusnya terjawab apabila ibu pejabat parti mengisytiharkan bahawa mesyuarat yang diadakan pada 23 Oktober lepas sebagai yang sah.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, Tan Sri Annuar Musa semalam berkata perkara berkenaan disahkan apabila beliau menerima panggilan daripada Ibu Pejabat Umno memaklumkan bahawa keputusan mesyuarat yang dipengerusikan Ketua Pemuda Umno Gua Musang, Bazlan Baharuddin pada 23 Oktober lalu adalah sah dan tidak terbatal sebagaimana yang dilaporkan sebelum ini.

Sementara itu, anggota Parlimen Jerlun yang juga Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir pula setakat ini masih kekal sebagai pendahulu dalam perebutan jawatan Ketua Pemuda dengan 66 pencalonan.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pula, anggota Parlimen Muar, Razali Ibrahim setakat ini memperoleh 81 pencalonan manakala pesaingnya Exco Pemuda Umno, Datuk Reezal Merican Naina Merican pula memperoleh 68 pencalonan.

Jumlah minimum yang diperlukan untuk melayakkan diri bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno ialah 39 pencalonan manakala bagi naib pula 20 pencalonan.

Calon lain untuk jawatan Naib Ketua Pemuda Umno ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu, Bahrul Razha Chuprat (3), manakala Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan, Marzuki Yahaya, Ketua Pemuda Umno bahagian Subang Megat Firdaus Megat Junid, Khairy dan Ketua Pemuda Umno bahagian Kapar Faizal Abdullah, masing-masing masih dengan satu pencalonan.

Sementara itu, calon untuk jawatan Ketua Pemuda Umno, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Perlis, Datuk Zahidi Zainul Abidin bagaimanapun mengambil keputusan menarik diri daripada bertanding jawatan itu pada 23 Oktober lepas walaupun telah memperoleh satu pencalonan iaitu dari bahagian Pemuda Padang Besar, Perlis.

Setakat ini, sebanyak 162 daripada 191 pergerakan Pemuda bahagian telah mengadakan mesyuarat perwakilan masing-masing sejak 9 Oktober lepas. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain