suria

Shahrir dedah terima SMS ugutan politik

JOHOR BAHARU: Ketua Umno Bahagian Johor Baharu, Datuk Shahrir Abdul Samad hari ini mendedahkan bahawa ada pihak menghantar mesej berbau ugutan kepadanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) sejak bermulanya mesyuarat perwakilan Umno bahagian dua minggu lepas.

Penghantar mesej itu dengan angkuhnya menurut Shahrir, meminta Umno Bahagian Johor untuk mencalonkan dua ahli politik tertentu bagi merebut jawatan tertinggi parti itu pada pemilihan Mac tahun depan.

"Mesej itu meminta kita menyokong dua tokoh itu...kalau tidak dan jika menang kedua mereka, bahagian Johor Baharu tidak akan disokong, akan ditindas dan dikenakan tindakan," katanya tanpa menamakan siapakah dua ahli politik yang dimaksudkan itu.

Shahrir yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat perwakilan Umno Bahagian Johor Baharu di sini hari ini.

Menjawab pertanyaan pemberita, Shahrir berkata beliau tidak tahu siapa penghantar mesej itu sambil menambah beliau menerima lebih 10 mesej.

Beliau kesal kerana perbuatan tersebut tidak melambangkan kebudayaan orang Melayu dan Umno yang penuh dengan adab dan tatasusila.

Ditanya sama ada beliau membuat laporan polis berhubung perkara itu, Shahrir berkata beliau tidak berbuat demikian kerana ia merupakan perkara politik.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim yang hadir sebagai pemerhati ke mesyuarat tersebut ketika diminta mengulas mengenai ugutan politik itu berkata anggota Umno mesti menafikan budaya negatif itu.

Katanya, Shahrir yang juga anggota Parlimen Johor Baharu telah membuat keputusan yang betul dengan mendedahkan ugutan itu.

"Ini bukan sahaja melanggar budaya Melayu dan Umno tetapi juga melanggar perundangan...ini sesuatu yang harus ditolak," katanya.

Beliau mengaku pernah menerima mesej seumpama itu tetapi mengambil keputusan tidak mengendahkannya. BERNAMA

Artikel Lain