suria

Pilihan raya baru tidak perlu BN mahu kekal mandat semasa Najib

KUALA LUMPUR Negara tidak memerlukan pilihan raya baru sebab kerajaan Barisan Nasional yang ada sekarang mempunyai mandat untuk terus memerintah selama lima tahun lagi.

"Kami ingin meneruskannya serta ingin terus berkhidmat hingga tamat tempohnya dan apabila berakhirnya tempoh ini, rakyat boleh menghakimi kami," kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Beliau ditanya sama ada mandat baru perlu diminta daripada rakyat dalam wawancara melalui program "Bloomberg Voices" terbitan Bloomberg TV yang disiarkan secara rakaman di sini hari ini.

Najib juga diminta memberi pandangan tentang DEB.

Beliau yakin unsur-unsur Dasar Ekonomi Baru (DEB), yang berakhir pada 1990 dan digantikan dengan Dasar Ekonomi Nasional (DEN) pada 1991, boleh dihapuskan secara beransur-ansur.

"Saya sedang berusaha ke arah melaksanakan liberalisasi (unsur-unsur DEB) secara beransur-ansur itu apabila bumiputera sudah mempunyai keyakinan diri.

"Dan sukacita saya nyatakan bahawa semakin ramai dalam kalangan mereka kini sudah mempunyai keyakinan untuk bersaing, untuk berjaya di peringkat global dan domestik.

"Dalam tempoh yang tidak terlalu lama lagi, kita dapat saksikan unsur-unsur DEB ini akan diganti," kata beliau "Saya berpendapat unsur-unsur DEB perlu dibuang secara beransur-ansur dan pada waktu yang sama, sungutan yang berasas dan keperluan setiap masyarakat, perlu diberi perhatian," katanya dalam program 30 minit itu.

"Dan saya percaya, keperluan dan sungutan yang berasas oleh setiap anggota masyarakat Malaysia perlu diuruskan. Kami patut dilihat bersikap serius bagi menyelesaikan masalah mereka," katanya.

Ditanya tentang wawasan beliau sebagai orang yang bakal menerajui negara ini, Najib berkata, beliau ingin untuk membawa Malaysia ke tahap pembangunan seterusnya, dengan memberi penekanan bukan saja terhadap aspek fizikal, tetapi juga untuk mewujudkan transformasi terhadap negara ini.

"Bukan saja daripada segi pertumbuhan KDNK, tapi kami juga ingin membina negara Malaysia yang lebih kukuh, yang mempunyai institusi serta nilai dan rakyat yang lebih mantap, di samping mampu memenuhi harapan rakyatnya yang lebih tinggi untuk menjadi masyarakat yang lebih progresif, matang dan canggih," katanya.

Mengenai kebebasan awam, Najib berkata kini, masyarakat menjadi semakin canggih dan prihatin terhadap kebebasan sivil, tentang kematangan demokrasi dan "kami perlu menangani perkara itu."

"Contohnya, Akta Keselamatan Dalam Negeri. Ia merupakan undang-undang pencegahan dalam usaha memerangi keganasan, mencegah sesuatu yang buruk daripada berlaku, tidak kira sama ada ia dalam bentuk keganasan, pergaduhan kaum atau seumpamanya," kata beliau.

"Kesimpulannya, apa jua undang-undang yang diamalkan di negara ini, ia perlu digubal berasaskan jangkaan bahawa ia akan mendapat sokongan popular, jika tidak, ia tidak akan memberi makna," kata Najib.

Mengenai usaha memperkasakan semula Umno, beliau berkata, ia merupakan suatu cabaran besar dan "saya fikir Umno sedang melakukannya. Kami perlu melalui proses menyedari sepenuhnya di mana kami berada sekarang dan apakah kegagalan teruk kami pada pilihan raya umum lepas.

"Umno perlu memiliki kesungguhan dan keinginan politik untuk membuat perubahan dari dalam. Saya berpendapat orang tidak akan menghormati kami jika kami tidak berubah, mengatasi kelemahan yang ada dan mempamerkan imej yang lebih baik.

"Saya telah berkata secara terbuka bahawa kalau kami tidak berubah, maka rakyat akan menukar kami," katanya.

Diminta mengulas tentang perpecahan yang berlaku dalam parti itu, timbalan presiden Umno itu berkata setiap kali ada pemilihan parti, pasti ada orang yang bertanding dan ini menyebabkan wujudnya perbezaan pendapat.

"Tapi, apabila selesai pertandingan, secara umumnya, anggota Umno akan kembali merapatkan barisan. Saya harap ini akan berlaku dan saya fikir ia akan berlaku," katanya.

Mengenai pembabitan beliau dalam politik, Najib berkata beliau memang meminati politik sejak muda lagi, tetapi bapanya Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, tidak mahu beliau menceburi bidang itu.

"Beliau mahu saya jadi akauntan," kata Najib sambil menambah bahawa apabila bapanya meninggal dunia semasa menyandang jawatan perdana menteri pada 1976, beliau yang ketika itu baru berusia 22 tahun, perlu membuat keputusan yang amat penting.

"Saya buat keputusan untuk terjun ke dalam kolam yang amat dalam dan mencabar ini.

"Kalau bernasib baik, saya timbul, kalau tidak, saya tenggelam. Saya perlu buat keputusan dan keputusan itulah yang telah saya buat. Saya ingin tegaskan bahawa saya melibatkan diri dalam politik setelah bapa saya meninggal dunia. Ini merupakan satu perbezaan besar," katanya.

Najib berkata setelah berada dalam kerajaan selama lebih dua dekad, beliau berpendapat bahawa sumbangan beliau dalam melakukan pembaharuan terhadap bidang pendidikan semasa menjadi Menteri Pelajaran dari 1995 hingga 1999 dan usahanya memodenkan angkatan tentera, merupakan antara sumbangan penting beliau terhadap negara.

"Saya agak gembira dengan apa yang telah saya capai setakat ini," katanya sambil menambah bahawa konsep yang menjadi pegangan beliau dalam bidang kepimpinan ialah sesuatu yang berasaskan prestasi, manakala dalam konteks kepimpinan pula, beliau ingin dilihat sebagai seorang pemimpin yang mampu melakukan transformasi.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain