suria

Nazri nafi siasatan kes mata lebam Anwar sudah selesai

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menafikan dakwaan bahawa siasatan kes insiden 'mata lebam' Datuk Seri Anwar Ibrahim sudah selesai dan hasil laporan itu mendapati terdapat elemen penyalahgunaan kuasa oleh Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.

Mohamed Nazri berkata, siasatan kes itu masih dijalankan Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan ia bukan dilakukan oleh Pejabat Peguam Negara seperti yang didakwa anggota Parlimen DAP bagi Ipoh Timur, Lim Kit Siang pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalaan 2009 persidangan Dewan Rakyat semalam.

"Saya menafikan kenyataan Kit Siang itu kerana seperti yang kita semua tahu bahawa badan yang bertanggungjawab menjalankan siasatan itu ialah BPR dan bukannya Peguamcara Negara Datuk Idrus Harun.

"Ini adalah kerana berdasarkan kepada 'peraturan kehakiman asli' sendiri. Ia adalah tidak wajar bagi seseorang daripada Pejabat Peguam Negara menjalankan siasatan berkenaan kerana beliau akan menyiasat bosnya sendiri, menyebabkan penyiasatan menjadi tidak adil," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen di sini semalam.

Mohamed Nazri berkata, beliau juga telah menghubungi BPR dan diberitahu bahawa siasatan masih dijalankan dan sebarang laporan lengkap belum diperolehi.

Ditanya mengenai siapa yang akan membuat keputusan apabila siasatan sudah selesai dijalankan, katanya beliau tidak diberitahu berhubung perkara itu bagaimanapun ia semestinya akan diputuskan oleh Pejabat Peguam Negara sebagai sebuah institusi.

Beliau juga menggesa semua pihak supaya membenarkan BPR menjalankan siasatan mereka dengan terperinci tanpa sebarang tekanan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Zahidi tewaskan Azmi Khalid

Artikel Lain