suria

Kit Siang persoal gelaran Bapa Demokrasi Malaysia untuk Pak Lah

KUALA LUMPUR: Penasihat DAP, Lim Kit Siang menyambung perbahasan Bajet 2009 dengan mempertikaikan gelaran "Bapa Demokrasi Malaysia" yang diberi Presiden Gerakan, Tan Sri Koh Tsu Koon kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ahli Parlimen Ipoh Timur itu berkata, beliau 'hairan' gelaran tersebut diberikan kepada Perdana Menteri sedangkan baru-baru ini Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) digunakan ke atas Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; wartawan Sin Chew Daily, Tan Hoon Cheng dan penulis blog Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin.

"Selain itu, ada lima tahanan Hindraf masih dalam tahanan ISA, tiga akhbar iaitu The Sun, Suara Keadilan dan Sin Chew Daily yang diberi surat amaran mengapa mereka tidak boleh dikenakan tindakan. Tan Sri Koh Tsu Koon, apa demokrasi ini?

"Selain itu, bolehkah Perdana Menteri melakukan reformasi khasnya keyakinan kepada pasukan polis dan rasuah dalam lima bulan walhal dalam lima tahun, beliau tidak dapat melakukannya.

"Siapa percaya? Saya percaya tiada yang percaya dan beliau tidak mendapat jaminan bahawa beliau akan mendapat sokongan sepenuhnya” katanya dalam sesi perbahasan Dewan Rakyat di Parlimen di sini.

Selain itu, Lim turut mencadangkan penubuhan suruhanjaya diraja untuk menyiasat segala dakwaan ke atas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak termasuk pembunuhan wanita Mongolia, Altantuyaa Shaaribuu dan mesej SMS antara Najib dan peguam kepada penganalisis politik, Abdul Razak baginda yang kini sedang dibicarakan atas kes tersebut.

"Kita tak tahu sama ada benar atau tidak tapi semua (disiarkan) dalam blog. Mahukah kita ada seorang Timbalan Perdana Menteri yang menjadi bahan ketawa dan bahan bisikan apabila menghadiri persidangan antarabangsa?

"Adakah sesiapa yang berani kata setuju kita adakan suruhanjaya diraja untuk menyiasat segala tuduhan terhapat Timbalan Perdana Menteri supaya kita merasa banggsa ada seorang Perdana Menteri yang bersih seratus peratus atau sebaliknya," katanya.

Kata Lim, beliau berharap Najib akan segera hadir ke Parlimen dengan kenyataan kementerian bagi menejelasan pembelian 12 helikopter dari Eurocopter menggantikan Nuri supaya hal itu boleh dibincang dan dibahas.

Lim turut mendesak Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail meletakkan jawatan kerana mendakwa siasatan mendapati Gani menyalahgunakan kuasanya untuk mereka bukti terhadap kes Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim 10 tahun lalu.

"Kita dapati ia sudah disiasat oleh Peguam Cara dan beliau sudah dapat kesimpulan bahawa (Tan Sri) Gani Patail telah menyalahgunakan kuasa. Kenapa beliau masih jadi Peguam Negara? Dan, saya minta dia letak jawatan sekarang," katanya.

Selain itu, Lim juga meminta Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan meletak jawatan kerana dikatakan melobi bagi mendapatkan kontrak projek besar.

"Kalau dia mahu jadi pelobi untuk kontrak polis, letak jawatan,” katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain