suria

Tee Keat buat laporan polis dakwaan miliki aset RM21 juta

PETALING JAYA: Naib Presiden MCA, Datuk Ong Tee Keat hari ini membuat laporan polis berhubung tuduhan yang dibuat terhadapnya, kononnya beliau mempunyai aset sebanyak RM21 juta.

Beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya di sini ditemani peguamnya Simon Lim Seng Chai pada kira-kira pukul 11 pagi ini.

Ong yang ditemui pemberita selepas membuat laporan polis itu berkata tuduhan yang dilemparkan oleh pihak tertentu terhadapnya adalah tidak berasas dan bertujuan menjatuhkan karier politiknya.

"Saya terpaksa berbuat demikian (laporan polis) untuk menolak segala fitnah yang dibuat ke atas saya.

"Selama ini saya hanya membuat kenyataan menafikan segala tuduhan, tetapi kali ini saya perlu bertegas supaya polis dapat menyiasat tentang perkara itu," katanya.

Rabu lepas, Pengasas Jawatankuasa Kempen Keselamatan MCA Datuk Thean Book menggesa calon presiden MCA Datuk Ong Tee Keat agar membuat laporan polis berhubung tuduhan tersebut.

Thean berkata beliau dan beberapa anggota MCA menerima surat layang yang mendakwa Ong, yang juga Menteri Pengangkutan, mempunyai banyak harta termasuk banglo, rumah teres, kedai, kilang dan kondominium di sekitar Selangor, yang sewanya diperolehi setiap bulan.

"Harta-harta yang disenaraikan (didakwa) itu perlu disiasat..hak milik sebenar dan juga jenis-jenis harta itu," kata Ong.

"Saya sendiri tidak tahu-menahu mengenai harta yang didakwa itu. Saya cuma tahu mengenai kandungan surat layang berkenaan minggu lepas dari rakan-rakan parti," katanya.

Ketika ditanya mengapa laporan polis baru dibuat hari ini setelah seminggu beliau mengetahui mengenai surat layang itu, Ong berkata: "Kita perlu mengumpul bukti mengenai dakwaan ini, sebab itu baru sekarang saya dapat membuat laporan (polis).

"Selaku naib presiden MCA, saya tidak mahu parti ini dibinasakan oleh kumpulan-kumpulan manusia yang berkempen dengan memburuk-burukkan dan memfitnah ahli parti yang lain," katanya.

Ong akan dicabar bekas naib presiden MCA Datuk Chua Jui Meng bagi merebut jawatan presiden parti pada pemilihan 18 Okt ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain