suria

Hindraf nafi cetus kecoh majlis rumah terbuka di PWTC

BUTTERWORTH: Hindraf kecewa dengan kenyataan beberapa ahli politik dan media berhubung hasrat kumpulan itu yang mengunjungi majlis rumah terbuka anjuran Perdana Menteri dan menteri-menteri Kabinet di Pusat Dagangan Dunia Putra, kelmarin.

Penyelaras kebangsaan Hindraf, R.S. Thanenthiran berkata, pihaknya telah menghantar surat ke Pejabat Perdana Menteri pada 22 September lalu memaklumkan pihaknya mahu mengucapkan Selamat Aidilfitri secara peribadi kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi ketika majlis rumah terbuka dan ingin meminta beliau membebaskan tahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.

"Pembantu peribadi kanan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Yaakob telah menerima surat kami dan memberitahu bahawa setiap orang dijemput menghadiri majlis rumah terbuka Abdullah.

"Kami juga memaklumkan Ahmad Yaakob bahawa selain mengucapkan Selamat Hari Raya kepada Perdana Menteri, kami juga mahu secara peribadi meminta Abdullah membebaskan kesemua tahanan ISA," kata beliau pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan media bahawa sekumpulan penyokong Hindraf menimbulkan kekecohan pada majlis rumah terbuka kelmarin.

Laporan media menyebut tanpa mempedulikan peraturan, mereka bertindak mendahului barisan pengunjung lain yang sudahpun beratur untuk memasuki dewan sejak pukul 10 pagi.

Menurut saksi yang melihat tindak-tanduk mereka, kumpulan itu mula memotong barisan orang ramai menjelang tengah hari untuk menyerahkan patung beruang dan kad Hari Raya yang mereka dakwa mengandungi 300 tandatangan bagi mendesak pembebasan pemimpin Hindraf yang sedang menjalani tahanan.

Abdullah juga memberitahu pemberita bahawa kumpulan itu mahu berjumpa beliau secara peribadi tetapi beliau tidak dapat bertemu secara khusus dengan mana-mana pihak kerana acara itu adalah rumah terbuka Hari Raya.

Sempena majlis terbuka itu, penyokong Hindraf dan penyokong kumpulan Free Raja Petra Kamarudin mengunjungi majlis rumah terbuka itu.

W. Vwaishhnavi, 6, anak perempuan Pengerusi Hindraf P. Waythamoorthy menyampaikan patung beruang dan sepucuk kad Aidilfitri.

Thanenthiran berkata, anggota Hindraf melawat rumah terbuka Abdullah untuk menyampaikan dan "memohon maaf, zahir dan batin”, bukannya bertujuan menimbulkan suasana tidak senang pada hari mulia.

Malah, kata beliau, tidak benar penyokong-penyokong Hindraf memotong barisan, sebaliknya menunggu selama dua jam untuk menemui Abdullah.

Kata beliau, tiada memorandum diberikan kepada Abdullah.

"Kami sentiasa mengingatkan penyokong-penyokong supaya bersabar dan bertindak sebagai warganegara yang menghormati undang-undang," katanya.

"Tetapi kami kecewa dengan sesetengah pihak yang memberikan gambaran bahawa kami ganas dan melakukan provokasi," katanya.

Beliau juga meminta penyokong-penyokongnya supaya menjauhkan diri daripada majlis rumah terbuka Abdullah di Kepala Batas esok bagi mengelakkan salah faham.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain