suria

Belum ada universiti asing mohon buka cawangan di Iskandar Malaysia

JOHOR BAHARU: Belum ada universiti asing yang mengemukakan permohonan kepada Kementerian Pengajian Tinggi untuk membuka cawangan mereka di kawasan Iskandar Malaysia, kata menteri berkenaan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata pihaknya akan menjadi pemudah cara untuk menimbang dan memudahkan permohonan lesen daripada universiti asing yang ingin berbuat demikian di koridor pembangunan selatan itu.

"Kita akan menjadi pemudah cara kepada universiti-universiti asing yang bersedia untuk membuka cawangan di Iskandar Malaysia dari segi menimbang dan meluluskan lesen," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada rumah terbukanya yang dihadiri kira-kira 10,000 orang di Dewan Serbaguna Taman Johor Jaya di sini hari ini.

Khaled berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan mengenai perkara itu selepas Carnegie Mellon University dari Amerika Syarikat dan University of Hull, Britain menandatangani perjanjian persefahaman dengan Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) untuk membuka cawangan mereka di kawasan itu.

Beliau berkata hanya universiti asing yang berstatus antarabangsa akan digalakkan membuka cawangan mereka di Iskandar Malaysia.

Khaled berkata kementerian itu juga akan memainkan peranannya di luar negara bagi menarik universiti asing membuka cawangan di Iskandar Malaysia jika tempat yang sesuai telah ditetapkan untuk dijadikan hub pendidikan tinggi di kawasan itu.

Kementerian juga menggalakkan universiti awam tempatan untuk membuka fakulti baru atau pusat kecemerlangan di Iskandar Malaysia.

"Itu satu lagi pendekatan yang boleh kita ambil untuk menjadikan Iskandar Malaysia sebagai hub pendidikan tinggi dan perkara itu akan kita pertimbangkan secara berperingkat apabila kita masuk ke Rancangan Malaysia Kesepuluh nanti," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain