suria

Sarawak serahkan kepada Umno tentukan cara pemulihan

KUCHING: Barisan Nasional (BN) Sarawak akan membiarkan kepada Umno, tulang belakang parti pemerintah, untuk mengadakan satu konsensus baru mengenai cara-cara penjenamaan semulanya bagi pilihan raya umum ke-13.

Mengulas pelan peralihan kuasa yang menyaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasa kepada Timbalannya Datuk Seri Najib Tun Razak lebih awal dari 2010, Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud berkata, ada orang dalam Umno, yang mahu penyesuaian kepada perubahan baru ini dalam iklim politik tersebut.

"Biarlah masalah Umno ditangani oleh Umno. Kita biarkan pada Umno dengan cara-cara parti mereka menyesuaikan diri dengan keadaan sekarang," kata Taib, yang juga Pengerusi BN Sarawak dan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) kepada pemberita pada Rumah Terbuka Hari Raya di Petra Jaya di sini.

"Umno ialah satu organisasi besar. Saya tidak ada hak (untuk menasihat) tetapi saya tahu apa yang perlu dilakukan dengan PBB atau BN di Sarawak," katanya sambil menambah penduduk di negeri ini telah mengamalkan "amalan politik baik sejak beberapa tahun lepas."

Dilaporkan bahawa penyerahan kuasa awal akan memberikan masa secukupnya kepada Najib untuk bersedia mengetuai BN dalam pilihan raya umum akan datang kerana parti itu perlu membuat banyak pemulihan terhadap keyakinan orang ramai pada parti tersebut.

Jumaat lepas, Abdullah mengumumkan bahawa Perhimpunan Agung Umno yang dijadual pada Disember ini ditangguhkan pada Mac depan untuk memudahkan peralihan kuasa yang lebih awal.

Diminta mengulas mengenai Akta Hubungan Kaum, yang dilihat satu celaan kepada penduduk Sarawak, beliau berkata, penduduk di sini tidak nampak keperluannya kerana mereka boleh bergaul mesra semasa sendiri dengan baik.

Bagaimanapun, orang ramai mestilah juga menyedari bahawa ada elemen yang tidak bertanggungjawab, yang cuba menanamkan isu perkauman, satu formula untuk melindungi dan mengukuhkan hubungan antara pelbagai bangsa berlainan adalah baik jika kerajaan persekutuan memikirkan ia perlu untuk mengawal dan mengekang sebarang kesan yang tidak baik, katanya.

Mengenai kebimbangan terhadap akibat pengaruh daripada "jenis politik" dari Semenanjung Malaysia akan menular ke Sarawak, Taib berkata sesetengah pihak, yang mahu mendapatkan kedudukan dalam politik dan berperanan sebagai seorang "jenama baru politik dari luar."

"Bagi kita (penduduk Sarawak) tidak takut, kita perhati mereka. Jika ia sesuai dengan kepentingan kita dan ia OK, tetapi jika ia tidak sesuai dengan kepentingan kita, kita tendang saja keluar," kata beliau, sambil menambah bahawa kebanyakan mereka memainkan sentimen awam terhadap isu perkauman dan agama.

"Kita orang yang berkelakuan baik di Sarawak. Kita tidak kira apa yang akan berlaku," kata beliau, merujuk kepada mereka yang mengganggu keharmonian yang disebabkan ketegangan dan konflik kaum yang boleh menggugat kestabilan negara ini.

"Saya boleh beritahu anda hari ini, kita telah melalui jenis politik yang sama 10 tahun lepas dan setiap orang melihat kaum Iban memainkan politik perkauman tetapi kini anda boleh lihat mereka sedar dengan politik perkauman seperti orang lain di Sarawak, saya kini bangga dengannya," kata Taib. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain