suria

Maybank ambil alih BII RM426 bilion

KUALA LUMPUR: Malayan Banking Bhd (Maybank) telah menyelesaikan pengambilalihan kepentingan 55.6 peratus ekuiti dalam PT Bank Internasional Indonesia (BII) pada harga RM4.26 bilion (SGD$1.77 bilion).

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Maybank berkata, pemilik kepentingan tersebut, Fullerton Financial Holdings (FFH) dan Kookmin Bank, telah bersetuju untuk menyediakan satu rebat terkumpul RM758.9 juta (SGD$315.2 juta) dari jumlah pembelian itu.

Persetujuan itu menjadikan harga sebenar yang perlu dibayar dikurangkan kepada Rp433 sesaham daripada Rp511 sesaham BII, katanya.

Namun begitu, katanya untuk mengelak sebarang keraguan, tawaran tender untuk membeli baki saham yang lain telah ditetapkan pada harga Rp510 sesaham, kata Maybank.

Khamis lepas, Bank Negara Malaysia meminta Maybank untuk merundingkan semula harga berkenaan dengan Fullerton dan Kookmin kerana harga asal sebanyak Rp510 sesaham disifatkan terlalu tinggi.

Dalam satu kenyataan lain, Ketua Pegawai Eksekutif Maybank, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, langkah mengambil alih BII itu telah melalui proses intensif tetapi gembira kerana telah mencapai perjanjian itu.

Katanya, fokus pihaknya kini adalah untuk mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik bagi BII, dengan bekerja dengan pengurusan bank itu walau pun berhadapan dengan persekitaran ekonomi yang mencabar di seluruh dunia.

Pengambilalihan itu akan meningkatkan kehadiran Maybank di Indonesia yang sememang disifatkannya sebagai satu pasaran utama, dengan menetapkan untuk menjadi satu peneraju kumpulan perkhidmatan kewangan serantau.

Maybank menandatangasni perjanjian jualan dan belian bersyarat pada 26 Mac, 2008 dengan Fullerton Financil Holdings (FFH) dan Kookmin Bank (KB) untuk mengambil alih sehingga 100 peratus kepentingan Sorak Financial Holdings Pte Ltd pada pertimbangan tunai RM4.8 bilion (SGD$2.08 bilion).

Maybank turut bersetuju menawarkan tender bagi mengambil alih baki 44.3 peratus saham yang dipegang oleh baki pemegang saham BII.

Tawaran tender itu dianggarkan kirakira RM3.8 bilion (SGD$1.65 bilion), yang menjadikan nilai keseluruhan cadangan pengambilalihan itu kepada kirakira RM8.6 bilion.

Sorak dimiliki 75 peratus oleh FFH, sebuah anak syarikat milik penuh Temasek Holdings (Private) Ltd dan 25 peratus milik KB. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain