suria

Polis Sabah tumpas sindiket loteri haram, rampasan terbesar tahun ini

KOTA KINABALU: Polis Sabah berjaya menumpaskan satu sindiket loteri haram membabitkan pertaruhan RM170,000 setiap kali cabutan dengan penahanan dua anggota sindiket itu dua hari lepas.

Ketua Jabatan SAC II Zainal Abidin Kasim berkata kegiatan sindiket itu terbongkar apabila polis yang mendapat maklumat daripada orang awam melakukan serbuan di sebuah rumah di Penampang pada kira-kira 6.30 petang, Rabu lepas.

Dalam serbuan itu, polis turut merampas 180 keping kertas pertaruhan, empat set komputer, satu monitor CCTV, dua mesin faksimili, lima mesin kira, satu mesin penghancur kertas dan dua buah telefon bimbit.

"Siasatan polis mendapati kegiatan itu dijalankan dua bulan lepas dan mempunyai nilai pertaruhan RM170 ribu setiap kali cabutan.

"Aktiviti mereka meliputi hampir keseluruhan Sabah dan nilai pertaruhan dalam sebulan pula hampir mencecah nilai RM2.4 juta. Rampasan ini boleh dikatakan yang terbesar di Sabah tahun ini," katanya kepada pemberita di ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Bagaimanapun, Zainal berkata tiada wang dijumpai kerana sindiket itu hanya menggunakan rumah itu untuk aktiviti pertaruhan sahaja dan ianya dikendalikan melalui faksimili, komputer dan telefon bimbit.

Katanya oleh kerana rumah itu dilengkapi CCTV, kedua-dua anggota sindiket itu sempat memusnahkan beberapa keping kertas pertaruhan sebelum pasukan polis berjaya memecahkan pintu untuk masuk.

"Kedua-dua suspek, lelaki berumur 37 tahun dan wanita berumur 24 tahun ditahan reman selama tiga hari sehingga esok," katanya.

Polis juga menyiasat sama ada sindiket itu mempunyai rangkaian dengan sindiket lain, katanya.

Katanya suspek disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak lebih dari RM200,000 dan penjara tidak lebih lima tahun. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain