suria

Pengendali LRT pernah diberi surat amaran

SEREMBAN: Kementerian Pengangkutan pernah memberi surat teguran sebanyak dua kali kepada syarikat pengendali Transit Aliran Ringan (LRT), Rangkaian Pengangkutan Integrasi Deras Sdn Bhd (Rapid KL) kerana masalah teknikal sebelum berlakunya insiden perlanggaran dua buah tren LRT pada Rabu lepas.

Menteri Pengangkutan Datuk Ong Tee Keat berkata surat teguran itu dikeluarkan bagi dua kejadian yang berpunca daripada masalah teknikal sehingga mengakibatkan kelewatan perkhidmatan.

Beliau bagaimanapun tidak memberitahu bila surat itu dikeluarkan.

"Jabatan Keretapi di bawah kementerian saya, ia berkuasa untuk mengeluarkan lesen dan menarik lesen perkhidmatan daripada syarikat pengangkutan terbabit berikutan kejadian ini walaupun ia merupakan sebuah syarikat milik kerajaan yang didaftarkan di bawah Kementerian Kewangan," katanya kepada pemberita selepas menghadiri satu jamuan anjuran oleh MCA Negeri Sembilan semalam.

Ong berkata laporan awal mengenai perlanggaran dua buah tren Aliran Ampang kira-kira 200 meter dari stesen LRT Bukit Jalil pada pukul 6.30 petang itu telah diterima Jabatan Keretapi dan para pegawainya sedang memperhalusi setiap perkara yang dicatatkan.

Katanya jabatan itu akan menjalankan siasatan terperinci mengenai kejadian itu dan menyelesaikan kes berkenaan dengan segera untuk membolehkan punca kejadian diketahui. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain