suria

Melamine: Tindakan wajar sudah diambil, pengguna tidak perlu risau

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menasihatkan pengguna agar tidak perlu risau mengenai isu melamine kerana tindakan sewajarnya bagi menangani isu tersebut telah pun diambil.

"Namun begitu, pengguna dinasihatkan sentiasa membaca label makanan sebelum membeli sesuatu produk makanan di pasaran," kata Pengarah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan, Kementerian Kesihatan, Noraini Mohd Othman dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Sehingga hari ini, senarai produk makanan yang tidak terlibat dengan pencemaran melamine ialah sebanyak 881 produk daripada 27 syarikat.

Sampel bagi produk-produk makanan terbabit telah diambil dan dianalisis oleh Jabatan Kimia bagi memastikan ia mematuhi standard sebelum dibenarkan dijual di pasaran.

Selain itu, pihak industri juga memberi jaminan bahawa produk makanan berkenaan tidak mengandungi susu dari China.

Pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai isu melamine di laman web kementerian, http://fsq.moh.gov.my.

Hubungan hotline Bilik Gerakan kementerian di talian 03-88833655, 03-88833503, 03-88833500, dan 03-88833652 untuk sebarang pertanyaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain