suria

Eurocopter dapat tender ganti Nuri - Abdullah

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan telah bersetuju untuk mendapatkan pesawat helikopter baru daripada sebuah syarikat pembuat helikopter Eropah, Eurocopter, bagi menggantikan helikopter Nuri.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, kementerian itu sedang meneliti klausa perjanjian sebelum menandatanganinya secara rasmi dengan syarikat berkenaan.

"Saya telah diberitahu bahawa Kementerian Pertahanan telah mengenal pasti Eurocopter sebagai pengganti khidmat pesawat Nuri.

"Kementerian Pertahanan mendapat banyak permohonan daripada syarikatsyarikat pembuat dan penjual pesawat antarabangsa," kata Abdullah yang juga Menteri Pertahanan kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat khas di Wisma Pertahanan, Jalan Padang Tembak di sini hari ini.

Pada 17 September lepas, Abdullah menyerahkan jawatan Menteri Kewangan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan mengambil alih jawatan Menteri Pertahanan daripada Najib.

Beliau pernah menjadi Menteri Pertahanan dari 1986 hingga 1987.

Menurut beliau pemilihan Eurocopter itu adalah berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan oleh Kementerian Pertahanan serta ciriciri yang terdapat pada helikopter berkenaan.

"Kami pilih yang terbaik. Pemilihan tidak dibuat sewenangwenangnya," katanya.

Abdullah berkata, sudah tiba masanya khidmat Nuri ditamatkan memandangkan usia pesawat itu yang telah lama digunakan dan pernah terlibat dalam beberapa kemalangan yang menyebabkan kehilangan nyawa.

Sementara itu, ketika ditanya pandangan beliau apabila memegang semula jawatan Menteri Pertahanan selepas 12 tahun, Abdullah berkata: "Saya rasa gembira berada di sini semula."

Mengenai tumpuan beliau sebagai Menteri Pertahanan, Abdullah berkata, antaranya ialah projek pembinaan rumah untuk pegawai dan anggota tentera akan diperluaskan di seluruh negara.

Katanya pembinaan projek perumahan sama ada yang baru atau dibaik pulih akan menggunakan kaedah IBS (Industrialised Building System) untuk meningkatkan kualiti rumah.

Selain itu beliau juga berkata Kementerian Pertahanan tidak menghadapi masalah dengan persenjataan yang sedia ada.

"Daripada segi persenjataan pada masa ini, tak ada masalah tetapi akan dipertingkatkan mengikut keperluan," kata Abdullah.

Dalam perkembangan lain, Perdana Menteri berkata Ahli Parlimen Mas Gading, Sarawak Datuk Dr. Tiki Lafe telah dilantik menggantikan Tan Sri Lee Lam Thye sebagai Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain