PGA ambil alih kawalan lapangan terbang antarabangsa - Semasa | mStar

PGA ambil alih kawalan lapangan terbang antarabangsa

KUCHING: Pasukan Gerakan Am (PGA) akan mengambil alih kawalan keselamatan di empat lapangan terbang antarabangsa mulai pertengahan dan penghujung Oktober ini.

Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Hussin Ismail berkata, PGA akan menempatkan pasukannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu mulai 15 Oktober ini manakala di Lapangan Antarabangsa Bayan Lepas dan Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi bermula pada penghujung Oktober.

"Seperti yang diputuskan oleh kabinet pada tahun 2007, PGA akan mengambil alih kawalan keselamatan di semua lapangan terbang dan ia akan bermula dengan lapangan terbang antarabangsa sebelum diperluaskan ke lapangan terbang domestik," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di Ibu Pejabat Briged PGA Sarawak di sini.

Dua Kompeni PGA akan ditempat di setiap lapangan terbang dengan kekuatan anggota seramai satu batalion, dan menurutnya pasukan PGA pada 12 Mei lalu sudah diberi tanggungjawab untuk menjaga keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Sementara itu katanya PGA kini turut diberikan tanggungjawab untuk mengawal selia operasi keselamatan di lapan pintu Kompleks ICQ di Utara Semenanjung Malaysia awal tahun ini.

Katanya, PGA akan menyelaras operasi keselamatan di kawasan perbatasan selain membantu agensi-agensi lain yang turut beroperasi di Kompleks ICQ khasnya dari segi mengawal penyeludupan, jenayah lintas batas dan ancaman-ancaman lain di sempadan.

"Untuk Sabah dan Sarawak PGA dijangka akan mula mengambil alih kawalan keselamatan di Pos Sempadan Tebedu dahulu sebelum beroperasi di pintu sempadan lain dalam masa terdekat," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

default image

Mufti Perlis akan bersara

Artikel Lain