suria

Lagi gesaan dimansuh, ISA masih diperlukan, kata Syed Hamid

JOHOR BAHARU: Tidak ada undang-undang yang dibuat oleh manusia akan kekal selamanya dan ini termasuk undang-undang pencegahan negara, Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Bercakap kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa di ibu pejabat kontinjen Polis Johor di sini malam ini, beliau berkata, kerajaan akan sentiasa mengkaji sebarang pindaan undang-undang selaras dengan tuntutan perubahan keadaan dan masa.

Tetapi sebelum ini berlaku, rakyat mesti mencintai negara dengan menjamin keamanan dan keselamatan.

"Kita mahu bina sebuah negara yang (rakyatnya) memahami tanggungjawab terhadap satu sama lain, yang faham sensitiviti masingmasing," kata beliau.

Bagaimanapun, hingga sekarang masih ada orang yang memainkan isu perkauman dan sensitif yang boleh mencetuskan emosi dan akhirnya ketidaktenteraman awam. Syed Hamid ditanya mengenai gesaan Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Majlis Peguam agar ISA dikaji semula dengan teliti atau dihapuskan sama sekali.

Beliau berkata, kerajaan berpendapat ISA masih perlu bagi menjamin keamanan dan keselamatan dan kerajaan tidak bercadang menghapuskannya.

Beberapa jam sebelum Syed Hamid memberikan pandangan itu, Majlis Peguam meminta kerajaan segera membebaskan dengan tanpa syarat semua tahanan ISA.

Dalam Mesyuarat Agung Luar Biasa yang diadakan semalam, yang dihadiri oleh 739 anggota, menerima resolusi yang menggesa pembebasan lebih 60 tahanan ISA serta lebih 2,000 tahanan yang ditahan mengikut pelbagai undangundang pencegahan sama ada dibebaskan atau didakwa di mahkamah.

"Terdapat banyak undang-undang yang dikaitkan dengan para tahanan ini dan jika pihak berkuasa mempunyai bukti terhadap mereka, dakwa mereka di mahkamah terbuka bagi membolehkan mereka mempertahankan diri," kata Presidennya. Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau berkata badan itu mendesak kerajaan supaya segera memansuhkan ISA dan Ordinan Darurat 1969 dan Akta Dadah Berbahaya 1985. Ambiga memberitahu pemberita bahawa mesyuarat itu juga sebulat suara mahukan kerajaan mendokong ikrarnya terhadap Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsabangsa Bersatu bagi mempromosikan dan melindungi hak asasi dan kebebasan asas serta menggalakkan kebebasan media. Mesyuarat itu turut mengutuk surat tunjuk sebab kepada Sin Chew Daily, The Sun serta Suara Keadilan dan menggesa kerajaan menarik balik surat berkenaan dengan segera.

"Kebanyakan anggota berasa sangat bimbang dengan layanan yang diberikan kepada tahanan ISA di mana mereka berada dalam keadaan daif, diberikan makanan tidak sihat dan kurang berhubung dengan dunia luar," kata Ambiga.

Artikel Sebelum

UPKO cadang ISA dikaji semula

Artikel Berikut

Anwar 'main wayang' - Rais

Artikel Lain