suria

Dr Chua umum tanding jawatan nombor 2 MCA

PETALING JAYA: Ura-ura yang mengatakan bekas Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek akan bertanding jawatan nombor satu MCA tidak menjadi kenyataan.

Bagaimanapun, beliau mengumumkan akan bertanding untuk Timbalan Presiden MCA dalam pemilihan parti pada 18 Oktober nanti.

"Saya berterima kasih terhadap keluarga dan rakan-rakan saya yang memberi sokongan kepada saya untuk bertanding semula. Mereka sokong saya terus berkhidmat untuk politik lebih-lebih lagi saya mempunyai pengalaman selama 25 tahun dalam politik.

"Sudah 10 bulan saya letak jawatan semua jawatan saya di kerajaan dan parti. Hari ini, saya bermula dari akar umbi untuk bertanding hinggalah ke pusat." katanya.

Dr Chua akan menjadi lawan kepada Setiausaha Agung, Datuk Seri Ong Ka Chuan yang juga berhasrat untuk bertanding jawatan tersebut.

"Ka Chuan adalah kawan baik saya. Beliau juga mempunyai banyak pengalaman di dalam Negeri. Biarlah perwakilan yang membuat pilihan tetapi dengan sokongan perwakilan yang ada saya yakin saya boleh menang," katanya.

Beliau menyatakan pengalaman serta kekananan merupakan unsur yang penting untuk berunding dengan pemimpin-pemimpin Umno yang lain di dalam kabinet.

"Mempunyai kemahiran untuk berunding adalah sesuatu kelebihan tetapi jika hendak berunding dengan pemimpin-pemimpin lain di dalam kabinet pengalaman serta kekananan seseorang pemimpin adalah penting dan bukan saja bergantung kepada kemahiran untuk untuk berdebat dan berunding dengan mereka," ujar beliau.

Selain itu, beliau berkata sebagai seorang pemimpin adalah perlu untuk memahami masalah akar umbi dan isu-isu semasa dan MCA perlu mempunyai pendirian yang jelas dalam merundingkan sesuatu masalah dengan parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain.

"Saya berpendapat hala tuju dan model yang lama MCA perlu disemak semula dan membuat perubahan. Kita perlu meneliti semua isu-isu yang berkaitan dengan rakyat.

"MCA perlu berani menyuarakannya agar masalah-masalah itu dapat diselesaikan dengan secepat mungkin termasuklah proses pemulihan BN selepas mengalami kekalahan yang teruk pada pilihan raya umum yang lepas serta soal berkerjasama dengan parti komponen yang lain dalam BN.

"Apa yang paling penting adalah MCA perlu mendekati rakyat untuk mendengar pendapat dan suara mereka secara terus untuk memulihkan semangat parti," katanya.

Apabila ditanya sama ada akan bertanding secara berpasukan dengan bekas Niab Presiden, Datuk Chua Jui Meng dalam pemilihan tersebut,beliau berkata: "Kita tidak sepatutnya berbincang tentang soal berpasukan, kita sepatutnya berkerjasama untuk memulihkan semangat MCA."

Walaubagaimanapun, beliau berkata akan berkerjasama dengan mana-mana pihak yang mempunyai manifesto yang sama dengan beliau dan bukan berunsurkan keperibadian.

"Setakat ini, hanya saya yang mengeluarkan manifesto. Ong dan Chua masih belum mengeluarkan manifesto mereka. Saya akan rujuk manifesto mereka dan tengok manifesto siapakah yang sama dengan saya maka saya akan sokong siapa. Kita tidak boleh sokong seseorang tanpa merujuk kepada manifesto mereka," katanya.

Slogan Dr Chua adalah berbunyi "Keberanian yang tulen, politik yang tulen. MCA sebagai kuasa yang baru".

Dalam sidang media tersebut, beliau telah menyatakan bahawa Naib Presiden, Datuk Donald Lim Siang Chai berhasrat untuk bertanding bagi jawatan Naib Presiden manakala seorang lagi Naib Presiden tidak berhasrat untuk bertanding bagi jawatan Presiden dalam pemilihan parti yang akan datang.

Apabila ditanya sama ada isu cakera padat akan membawa kesan kepada beliau untuk bertanding kali ini, beliau berkata: "Kesan itu memang ada. Perkara itu akan dibawa keluar semula untuk memburuk-burukkan saya tetapi itu merupakan palsu. Saya berasa lega setakat ini tiada siapa yang mempertikaikan kaliber, pengalaman serta kepimpinan saya."

Dalam perkara lain, Dr Chua menafikan sebaran SMS yang mengatakan anaknya Chua Tee Yong yang juga merupakan Anggota Parlimen Labis telah memasuki Pakatan Rakyat (PR).

"Itu tidak benar, dia (Tee Yong) ada dekat sini kamu tanyalah dia. Saya tetap akan setia kepada MCA, ini merupakan parti yang saya akan berkhidmat," katanya.

Beliau sangsi kenyataan terdapat seramai 31 orang Anggota Parlimen yang akan melompat parti ke PR yang dibuat oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini.

"Jika kata kita akan menghadapi peralihan kuasa, maka semalam sudah berubah kerajaan. Jika teruskan memainkan permainan politik maka rakyat akan bosan," ujar Dr Chua.

Artikel Sebelum

Artikel Lain