suria

Ng: Ketidakhadiran DAP disebabkan perselisihan pendapat

KUCHING: Ketidakhadiran DAP, anggota Pakatan Rakyat pada perhimpunan anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR) di sini untuk menyambut Hari Malaysia adalah disebabkan perselisihan pendapat di peringkat negeri, kata Ketua Badan Perhubungan PKR negeri Dominique Ng hari ini.

Ng, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Padungan berkata ia merupakan hak mutlak DAP Sarawak jika mereka memutuskan untuk berada di luar gabungan pembangkang di negeri ini walaupun Parti Kebangsaan Sarawak (SNAP) telah menyertainya dan lebih banyak parti dijangka akan berbuat demikian.

"Saya masih berharap walaupun wujud perselisihan pendapat, kami akan dapat menyelesaikannya dengan baik," katanya kepada pemberita selepas perhimpunan itu di Padang Merdeka di sini, yang dihadiri kira-kira 200 orang, termasuk Ketua Penerangan PKR Tian Chua dan pengerusi PKR Sarawak, Wan Zainal Wan Sanusi. Tiada kejadian tidak diingini dilaporkan berlaku pada perhimpunan itu, kali keempat diadakan berturut-turut oleh pembangkang sempena pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara, dengan Jalur Gemilang (bendera kebangsaan) dan bendera Sarawak dinaikkan dan pengisytiharan Malaysia dibacakan.

Mengenai kenyataan setiausaha DAP negeri Chong Chieng Jen yang parti itu enggan menyertai pakatan itu kerana percaya beberapa pemimpin PKR Sarawak mempunyai motif tersembunyi, Ng berkata ia adalah demi kepentingan rakyat sekiranya pembangkang saling bekerjasama.

Kenyataan Chong itu bagi mempertahankan persetujuan yang diperakui pada mesyuarat jawatankuasa parti yang dipengerusikan oleh pengerusi DAP negeri Wong Ho Leng di Sibu pada Ahad bahawa semua akan bekerjasama dengan PKR dalam membentuk pakatan tetapi dengan syarat tertentu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain