suria

Anwar gagal kota janji, pentingkan politik peribadi

PETALING JAYA: Pengerusi Kelab Penyokong-penyokong Barisan Nasional (BN-BBC), Datuk Seri Tiong King Sing menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal untuk mengotakan janjinya bagi membentuk kerajaan baru pada 16 September seperti yang diuar-uarkannya sebelum ini.

"Beliau sudah gagal, itu saja saya mahu cakap. Sekarang ini rakyat bolehlah nilai dia ini (Anwar) pemimpin yang macam mana.

"Rakyat boleh nampak Anwar pemimpin yang 'gila kuasa' dan 'gila jawatan'. Belum lagi dapat perintah sudah cakap siapa mahu jadi Perdana Menteri," katanya ketika dihubungi mStar Online.

Tiong turut mengakui tindakan Anwar yang sering menghebohkan kepada umum mengenai cita-citanya untuk mengambil alih kerajaan sedia ada telah memberikan imej buruk kepada negara.

"Bila Anwar selalu cakap mahu tubuh kerajaan baru, ia sebenarnya memberikan gambaran negara kita tidak stabil dan akan beri kesan kepada kemasukan para pelabur," katanya.

Mengulas lanjut, Tiong berkata pemimpin-pemimpin politik seharusnya menghormati mandat yang telah diberikan oleh rakyat.

"Kita mesti tahu kehendak rakyat yang telah buat keputusan dalam pilihan raya lalu yang yang telah memilih wakil-wakil mereka.

"Tidak kira sama ada pemerintah ataupun pembangkang, kita mesti terus memikirkan cara bagi membantu rakyat," katanya.

Tiong bagaimanapun menyelar tindakan Anwar yang dilihat lebih mengutamakan kepentingan politiknya daripada memikirkan kepentingan rakyat.

Artikel Sebelum

Artikel Lain