suria

Antara SRK, Batu Puteh dan Anaconda

SEMINGGU sebelum kedatangannya, nama Shah Rukh Khan bermain di bibir banyak orang di negeri ini, melengkapkan satu lagi catatan lembaran di bandaraya bersejarah ini.

Lebih menarik perbualan apabila bintang popular Bollywood itu hadir berpakaian baju Melayu hitam, bersongkok dan songket yang diikat rapi dengan gaya seniman agung Tan Sri P.Ramlee, semasa menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) yang membawa gelaran "Datuk" daripada Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob pada 6 Dis lepas.

Ribuan peminat termasuk pelancong asing, berasakasak untuk melihat dari dekat, merakam gambar dan mendapatkan tandatangan apabila Datuk Shah Rukh Khan mengunjungi tujuh lokasi pelancongan di sekitar bandaraya ini.

Antaranya ialah Menara Taming Sari iaitu menara tinjau berputar setinggi 110 meter, Jam Besar (Victoria Fountain), buaian 'Eye On Malaysia', Jonker Walk.

Beliau juga menaiki bot Melaka River Cruise menyusuri sungai Melaka sejauh empat kilometer.

Shah Rukh Khan melahirkan hasrat kembali semula ke Melaka untuk mengadakan penggambaran filem pada masa depan di negeri yang beliau dapati kaya dengan panorama menarik.

Di sebalik kemeriahan itu, kerajaan Melaka dikritik kerana menganugerahkan "Datuk" kepada pelakon itu, tetapi Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam menjelaskan ia adalah kerana promosi percuma yang diperolehi Melaka melalui filem lakonan seniman Bollywood itu bertajuk "One 2 Ka 4" yang penggambarannya dibuat di A'Famosa Resort, Alor Gajah pada tahun 2000.

Namun, Shah Rukh Khan bukan satu-satunya yang menceriakan Melaka pada tahun 2008. Satu lagi berita gembira sebelum itu ialah bandar Melaka diisytihar sebagai Tapak Warisan Dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (Unesco), di samping bandaraya Georgetown di Pulau Pinang.

Kawasan terlibat seluas 214.6 hektar meliputi dua zon pemuliharaan bandar yang dipisahkan oleh Sungai Melaka iaitu sekitar Bukit St. Paul yang menempatkan muzium, gereja, peninggalan Portugis dan Belanda, Bukit Cina serta bangunan lama yang berupakan rumah kedai, tempat tinggal, rumah ibadat dan makam.

Di JOHOR, keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei mengenai kedaulatan Pulau Batu Puteh yang memihak kepada Singapura diterima dengan perasaan yang berat dan duka.

Namun "kehilangan" Batu Puteh yang menempatkan Rumah Api Horsburgh itu sedikit sebanyak terubat apabila Malaysia diisytihar pemilik sah Terumbu Karang Tengah yang terletak hanya 0.5 Batu Nautika di selatan Batu Puteh. Kedukaan Sultan Johor jelas tergambar dalam titah baginda ketika merasmikan persidangan Dewan Undangan Negeri Johor pada bulan Jun.

"Suka beta ingatkan bahawa beta tidak lupa pada Pulau Batu Puteh. Sampai bila pun beta akan cari ikhtiar untuk mendapatkan semula pulau milik Johor itu," titah baginda.

Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim turut berkongsi pandangan dengan Sultan Johor dengan berkata, Kementerian Luar akan meneruskan usaha mencari dokumen-dokumen bersejarah bagi membolehkan penghakiman ICJ tentang pemilikan Batu Puteh itu dapat dikaji semula.

Tidak mahu "pisang berbuah dua kali" timbul desakan supaya tindakan diambil bagi memastikan Pulau Pisang di perairan berhampiran Pontian tidak menerima nasib yang sama seperti Batu Puteh. Ini kerana Pulau Pisang juga menempatkan sebuah rumah api yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pelabuhan Singapura.

Kebimbangan tentang status kedaulatan Pulau Pisang itu bertambah berikutan laporan demi laporan oleh penduduk tempatan yang mendakwa tindakan pihak Singapura membesarkan kawasan pentadbiran rumah apinya di pulau tersebut.

Lantas mereka mendesak kerajaan memulakan usaha untuk mengambilalih pentadbiran rumah api di Pulau Pisang itu daripada pihak berkuasa Singapura.

Bagaimanapun menurut Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman, kedaulatan dan pemilikan Johor terhadap Pulau Pisang adalah amat jelas serta tidak boleh dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

Menurutnya, kewujudan rumah api di pulau berkeluasan 178.4 hektar itu adalah menerusi perjanjian pada 1900 antara Sultan Johor pada ketika itu, Almarhum Sultan Ibrahim dengan kerajaan Inggeris.

Sementara itu pembangunan di koridor ekonomi khas, Iskandar Malaysia, terus berjalan dengan rancak dan sejak dilancarkan pada akhir 2006 ia telah menerima sejumlah RM40 bilion pelaburan dari dalam dan luar negara.

Di NEGERI SEMBILAN, pelbagai usaha dilakukan untuk mempromosikan potensi pelancongan di negeri Adat Perpatih ini.

Selain pelan memajukan pusat peranginan terkenal di Port Dickson, usaha mengimport ular sawa "Anaconda" dari Lembah Amazon di Brazil menjadi tarikan banyak pihak.

Taman rekreasi Ulu Bendol di kaki banjaran Titiwangsa menuju ke daerah Kuala Pilah tiba-tiba menjadi tempat persinggahan popular pada bulan Mei apabila berita mengenai ular Anaconda melahirkan 11 ekor anak di Taman ular Sawa.

Taman tersebut mempunyai lebih 30 spesies ular sawa termasuk dari dalam negara dan yang diimport dari Thailand, Burma, Papua New Guinea, Australia dan Brazil. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain