suria

Transformasi Anak Felda Hasil Gerbang Terbuka Universiti Lim Kok Wing

Inilah sebahagian daripada alumni Generasi Baru Universiti Lim Kok Wing yang telah mengalami proses transformasi sepanjang tiga tahun melanjutkan pelajaran di institusi bertaraf antarabangsa ini. - Foto oleh CHAN TAK KONG
Inilah sebahagian daripada alumni Generasi Baru Universiti Lim Kok Wing yang telah mengalami proses transformasi sepanjang tiga tahun melanjutkan pelajaran di institusi bertaraf antarabangsa ini. - Foto oleh CHAN TAK KONG
Inilah sebahagian daripada alumni Generasi Baru Universiti Lim Kok Wing yang telah mengalami proses transformasi sepanjang tiga tahun melanjutkan pelajaran di institusi bertaraf antarabangsa ini. - Foto oleh CHAN TAK KONG

KELAHIRAN alumni Generasi Baru dilihat sebagai refleksi kepada kesungguhan Universiti Lim Kok Wing yang mempunyai aspirasi untuk mencetuskan transformasi terhadap penuntut-penuntutnya yang lahir daripada keluarga Felda.

Lebih membanggakan, lepasan graduan institusi bertaraf antarabangsa itu yang terdiri daripada anak-anak Felda kini boleh duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan 9,000 penuntut lain yang datang dari 140 negara di seluruh dunia.

Mereka bukan sahaja boleh tersenyum dengan segulung diploma atau ijazah yang diperoleh, malah boleh berbangga dengan perubahan dan transformasi terhadap diri mereka yang sememangnya bercita-cita untuk lebih maju dan inovatif.

Apabila mereka yang digelar alumni Generasi baru ini dipanggil oleh syarikat-syarikat korporat ternama untuk mencurahkan khidmat dan kepakaran yang mereka miliki, maka ia menjadi hakikat bahawa ungkapan 'maju dan 'berjaya' bukan lagi angan-angan untuk anak Felda.

Peneroka Felda yang mana yidak berbangga apabila anak mereka bergelar juruanimasi, jurufoto dan koordinator projek? Ibu-bapa mana yang tidak gembira apabila anak mereka yang darahnya tertumpah di tanah Felda bergelar pensyarah atau penyelidik?

Naib Canselor Universiti Lim Kok Wing, Datuk Ar. Parid Wardi Sudin berkata proses melahirkan Generasi Baru adalah sebagai menyokong kerajaan dalam usaha mengubah dan menaik taraf kehidupan anak-anak Felda dari segi pendidikan.

Menjalinkan kerjasama dengan Felda bagi membuka peluang kepada pelajar Felda lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, beliau yakin telah melakukan yang terbaik dan akan terus melahirkan graduan kreatif dan berinovasi dari kelompok ini.

"Kita sentiasa meneroka dan melihat apa peluang yang boleh dibuka untuk mereka. Program yang ditawarkan bukan seperti program biasa dengan harapan Generasi Baru dapat bekerja sendiri atau mampu melibatkan diri dengan industri apabila mereka tamat belajar," katanya.

Sejak universiti ini membuka gerbangnya kepada anak-anak Felda pada tahun 2005, seramai kira-kira 2,000 penuntut berjaya memperoleh diploma daripada pelbagai bidang seperti penyiaran, hiasan dalaman, multimedia dan sebagainya.

Bidang penyiaran (radio dan TV), kreatif multimedia, hiasan dalaman dan fesyen menjadi empat kursus yang paling mendapat tempat di hati penuntut di sini.

Menurut Parid, transformasi alumni Generasi baru paling ketara dapat dilihat dan dinilai dari segi keyakinan, keupayaan berkomunikasi, penguasaan bahasa Inggeris dan cara mereka mempersembahkan sesuatu di khalayak.

Semua ini kerana mereka berpeluang bergaul dan memahami budaya pelajar antarabangsa selain membantu mereka menjadi insan yang lebih global.

"Perubahan ini membuatkan kita gembira. Dengan bekalan 3 atau 4 credit, lulus bahasa Inggeris dan membayar yuran yang berpatutan, mereka boleh membawa pulang diploma dan mendapat pekerjaan yang baik," katanya.

Naib Presiden Perhubungan Korporat dan Projek Khas universiti itu, Datuk Fajura Juffa Mohd Mustafa Kamal pula sangat berharap ibu bapa dan anak-anak Felda merebut peluang keemasan yang ditawarkan kepada mereka.

Selain tawaran pinjaman yang cukup untuk menampung pengajian selama tiga tahun, pihak universiti juga menyediakan fasiliti terbaik untuk kesemua penuntutnya.

Antara kelebihan anak-anak peneroka yang melanjutkan pelajaran di pusat pengajian itu ialah set permulaan pembelajaran dilengkapi thumbdrive, cakera padat, peralatan melukis, kertas, baju, beg dan komputer riba yang diberi pada awal sesi pengajian.

Malah, yuran pengajian turut dipotong dalam usaha menggalakkan lebih ramai lagi anak-anak Felda melanjutkan pelajaran di universiti.

"Tiada alasan untuk mereka kata 'tidak'. Kita beri semua (kemudahan) dan kita cuma harap mereka belajar sahaja supaya mereka dapat mengubah nasib diri dan membantu keluarga," katanya yang optimis lebih ramai lagi alumni Generasi Baru dapat dilahirkan oleh universiti ini.

Katanya, peluang belajar seperti ini juga mampu mengurangkan gejala rempit, lepak, dadah dan sebagainya yang sering dikaitkan dengan anak-anak Felda.

Seorang peneroka Felda, Rashid Ngah berbesar hati dengan transformasi dua anaknya yang belajar di universiti ini.

"Mereka menunjukkan perubahan yang ketara. Bukan anak saya sahaja telah menonjolkan diri mereka ke hadapan, tetapi secara tak langsung turut membuatkan saya berasa semakin maju," katanya.

Selaras dengan hasrat kerajaan dan hasrat Tun Dr Mahathir Mohamed yang mahu mempersiapkan jentera penggerak dalam mencapai Wawasan 2020, universiti ini melalui Generasi Baru sudah bersiap sedia ke arah masyarakat yang lebih kreatif dan inovatif.

Artikel Lain