KEMATIAN seorang remaja lelaki secara tiba-tiba selepas menderma plasma darah mengejutkan warga maya. Ia berikutan, remaja berusia 19 tahun itu telah menderma sebanyak 16 kali dalam tempoh lapan bulan. Pada 15 Januari, Zhao Wei, dari bandar Xinzhou, di wilayah Shanxi, China, dilaporkan meninggal dunia selepas pulang dari bekerja untuk membantu menyara keluarganya. Keesokan harinya, bapanya, Zhao Zhijie, menemui resit di bawah tilamnya yang mendedahkan derma plasma Zhao Wei yang banyak antara Mei dan Disember tahun lalu. Resit menunjukkan bahawa Zhao Wei telah menderma plasma darah sebanyak 16 kali dalam tempoh lapan bulan sebelum kematiannya, dengan selang waktu paling singkat antara derma hanya 12 hari. Malah terdapat satu bulan yang memaparkan dia menderma darah sebanyak tiga kali. Laporan perubatan pada 5 Januari lalu mendedahkan bahawa dia didiagnosis anxiety, anemia teruk dan gangguan darah. Terdahulu, rekod perbualan WeChat memaparkan bagaimana Zhao Wei terlibat dalam proses pendermaan plasma yang mana terdapat orang tengah mengatur pengangkutan untuk menjemputnya dan membayarnya 260 hingga 300 yuan (RM168.45 hingga RM194.36). Susulan kematian Zhao Wei, bapanya meminta syarikat pengumpulan plasma darah untuk bertanggungjawab. Dia turut mendakwa syarikat terbabit memperdaya golongan muda untuk 'menjual darah' sehingga menjurus kepada pendermaan jangka panjang seperti anaknya. “Ini mengakibatkan disfungsi penjanaan semula darahnya dan akhirnya mengakibatkan kematian. Mereka mesti bertanggungjawab. “Anak saya sudah tiada, dan tiada apa yang boleh mengembalikannya. Sebagai seorang bapa, apa yang saya cari adalah keadilan untuk anak saya. Saya memerlukan resolusi ini kerana saya tidak boleh membiarkan ia berlalu,” luahnya. - South China Morning Post Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube