RAKAMAN video seorang pengetua wanita yang sedang duduk di kerusi dihalau oleh beberapa individu mendapat perhatian warga maya. Ia berikutan, sekumpulan kakitangan sekolah yang diketuai pengerusi institusi meminta pengetua terbabit mengosongkan kerusinya serta-merta. Dia yang masih cuba mempertahankan 'jawatan' di Sekolah Perempuan Bishop Johnson di Prayagraj Uttar Pradesh, India telah diusung keluar secara paksa, manakala telefonnya turut dirampas. Susulan daripada itu, pengetua yang baru dilantik bertindak mengambil tempat duduknya sambil disambut dengan tepukan daripada mereka yang hadir. Difahamkan, kekecohan tersebut berpunca daripada penipuan yang didakwa dikaitkan dengan kebocoran kertas peperiksaan. Ia berikutan Bishop Maurice Edgar Dan, yang mewakili Keuskupan Lucknow, telah mendakwa bahawa sekolah itu terlibat dalam penipuan berjuta-juta yang dikaitkan dengan kebocoran kertas Pegawai Semakan-Penolong Pegawai Semakan (RO-ARO) UPPSC pada 11 Februari. Bishop Dan berkata, salah seorang kakitangan adalah antara yang ditahan oleh Pasukan Petugas Khas (STF) berhubung kebocoran kertas itu, dengan penglibatan Pengetua Parul Solomon turut terbongkar. Sehubungan itu, katanya, penyingkiran Solomon adalah akibat langsung daripada dakwaan dia terlibat dalam skandal berkenaan. Pada 11 Februari, kertas itu bocor sebelum bermulanya peperiksaan di Prayagraj. UP STF menahan sepuluh individu, termasuk Vineet Yashwant, pentadbir pusat peperiksaan di Bishop Johnson Girls School. Rangkaian itu didakwa membocorkan kertas itu pada pukul 6:30 pagi dari pusat peperiksaan dengan mengambil gambarnya pada telefon bimbit. - NDTV Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube