suria

Upacara pengebumian kecoh hospital tersilap hantar mayat, rupanya abang si mati tak teliti ketika buat pengecaman

Upacara pengebumian seorang wanita kecoh gara-gara hospital tersilap menghantar mayat.

AHLI keluarga dan saudara mara kepada seorang wanita yang sudah meninggal dunia terkejut apabila mendapati mayat yang tiba di wat bukanlah ahli keluarga mereka, sebaliknya orang lain.

Kejadian tersebut berlaku di wilayah Prachin Buri, Thailand pada 9 November lalu.

Terdahulu, keluarga si mati yang dikenali sebagai Somnuk Kongto, menunggu ketibaan mayatnya di Wat Sawang Arom untuk menjalankan upacara pengebumian.

Somnuk, 58, maut secara tragis dalam kemalangan jalan raya.

Sebelum itu, abang kepada Somnuk pergi ke hospital untuk membuat pengecaman dan menerima mayat wanita itu sebelum dibawa ke wat.

Sebaik sahaja van mayat tiba di wat, keluarga Somnuk segera membuka zip beg mayat dan mereka terkejut apabila mendapati mayat di dalamnya sangat berlainan.

Mayat wanita itu kelihatan jauh lebih muda daripada Somnuk, mempunyai kulit yang lebih cerah dan tidak kelihatan seperti terlibat dalam kemalangan.

Keluarga berkenaan kemudiannya segera menghubungi hospital dan bahagian rumah mayat mengakui mereka tersilap menyerahkan mayat.

Dalam pada itu, abang Somnuk mengakui kesilapan turut berpunca daripadanya kerana tidak membuat pengecaman dengan teliti ketika menerima mayat adiknya di hospital.

Sementara itu, pihak hospital memohon maaf atas kesilapan yang berlaku dan akan menanggung kos yang berkaitan. - Thethaiger.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain