suria

31 tahun berlalu, kematian lebih 200 jemaah haji terus dikenang... Ngeri lihat pesawat hancur di padang pasir

247 jemaah haji dan 14 anak kapal terkorban dalam kejadian itu.Foto: Aviation Safety Network.

SELEPAS 31 tahun berlalu, kejadian sebuah pesawat membawa jemaah haji yang terhempas di padang pasir tetap segar dalam ingatan waris mangsa-mangsa yang terlibat.

Dalam kejadian yang berlaku pada 11 Julai 1991, pesawat Nationair Canada itu membawa 247 jemaah haji dan 14 anak kapal, dalam perjalanan ke Nigeria.

Pesawat itu tiba-tiba terbakar selepas berlepas dari Jeddah sebelum terhempas di padang pasir, menyebabkan kesemua penumpang meninggal dunia.

Siasatan pihak berkuasa Kanada dan Arab Saudi mendapati kemalangan tragis itu berpunca daripada tayar pesawat yang kempis, diburukkan lagi dengan kesilapan yang membawa kepada kemalangan tragis berkenaan.

Anak kapal hanya menyedari kebakaran itu apabila seorang pramugari meluru masuk ke kokpit melaporkan dia melihat kepulan asap di bahagian belakang pesawat.

Juruterbang cuba kembali untuk melakukan pendaratan cemas selepas memberitahu kawalan trafik udara dia hilang kawalan dan berlaku kebakaran, kata jabatan penerbangan awam Saudi.

Kebakaran semakin marak apabila api membakar tangki bahan api pesawat yang akhirnya menyambar lantai kabin, ujar Rangkaian Keselamatan Penerbangan,

Mayat penumpang yang rentung mula jatuh dari pesawat apabila tali pinggang keselamatan yang dipakai hancur dijilat api sebelum pesawat itu jatuh hanya 1 kilometer dari landasan.

Akibat kemalangan itu, Nationair Canada mengalami masalah serius dengan imej awam dan kebolehpercayaan sehingga berlaku kemusnahan kewangan.

Syarikat itu diisytiharkan muflis pada Mei 1993.

Empat tahun kemudian pada 1997, Robert Obadia, pemilik Nationair Canada dan syarikat induknya Nolisair mengaku bersalah atas lapan pertuduhan penipuan berhubung aktiviti syarikat itu. - Daily Star.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain