suria

Kantoi! Lelaki tua miliki hobi pelik akhirnya ditangkap, polis temui lebih 700 pakaian dalam di rumah

Polis menemui kira-kira 730 pakaian dalam yang disimpan di rumah Urata. 

SEORANG lelaki di Jepun ditangkap kerana disyaki mencuri lebih daripada 700 helai pakaian dalam wanita dari pelbagai kedai dobi.

Kegiatan lelaki bernama Tetsuo Urata yang berusia 56 tahun itu terbongkar selepas dia ditangkap kerana mencuri enam pasang seluar dalam milik seorang pelajar berusia 21 tahun di sebuah mesin dobi di wilayah Oita, lapor Abema TV.

Ketika polis menggeledah kediamannya, mereka terkejut apabila menemui kira-kira 730 pakaian dalam yang disimpan.

Urata bagaimanapun mengaku melakukan perbuatan tersebut kepada pihak berkuasa, menurut Yahoo Japan News.

Gambar yang dikeluarkan oleh polis menunjukkan beratus-ratus helai seluar dalam dan coli yang dibentangkan di lantai.

"Kami tidak pernah melakukan rampasan pakaian dalam yang banyak seperti ini selama bertahun-tahun sebelumnya," kata jurucakap jabatan polis Beppu kepada Abema TV.

Tidak dapat dipastikan berapa banyak kedai dobi yang menjadi sasaran Urata dan sudah berapa lama kegiatan tersebut dilakukan.

Sementara itu, berita mengenai 'hobi pelik' lelaki berkenaan tersebar di media sosial dan orang ramai bertanya-tanya punca yang mendorong suspek melakukan perbuatan tersebut. - India.com

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI

Artikel Lain