suria

Pengawal keselamatan maut gara-gara tegur pelanggan tak topeng hidung, mulut

Tiga didakwa ada kaitan dengan kes pembunuhan seorang pengawal keselamatan.

TIGA didakwa di mahkamah Michigan, Amerika Syarikat pada Isnin, kerana mempunyai kaitan dengan pembunuhan seorang pengawal keselamatan, selepas bertengkar mengenai pemakaian penutup hidung dan mulut, lapor agensi berita Anadolu.

Pendakwa mahkamah daerah, Genesee David Leyton, berkata Ramonyea Bishop, 23, Larry Teague, 44, dan Sharmel Teague, 45, didakwa membunuh pengawal keselamatan Calvin Munerlyn, 43, dalam satu kejadian di sebuah kedai Family Dollar di bandar Flint pada Jumaat.

Hasil siasatan mendapati Sharmel Teague dan Munerlyn bertikam lidah selepas beliau disuruh memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di kedai berkenaan.

Sharmel Teague bertindak menengking Munerlyn dan pengawal keselamatan itu kemudian menyuruh wanita berkenaan meninggalkan kedai dan meminta juruwang tidak melayannya.

Sejam kemudian, Larry Teague dan Bishop datang ke kedai itu dan sekali lagi berlaku pergaduhan dan Bishop didakwa menembak belakang kepala Munerlyn.

Mangsa disahkan meninggal dunia di Pusat Perubatan Hurley.

Dalam satu siaran akhbar, pendakwa berkata Sharmel Teague telah ditahan dan polis masih memburu Bishop dan Larry Teague.

Michigan antara negeri paling teruk diancam wabak Covid-19 dengan hampir 45,000 kes positif dan lebih 4,000 kematian.

Penduduk negeri itu perlu memakai penutup hidung dan mulut ketika berada di tempat awam. - BERNAMA

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain