suria

Datuk Bandar Wuhan sedia letak jawatan, akui gagal sampaikan maklumat tepat kes koronavirus

Zhou Xianwang semasa ditemubual sebuah stesen TV tempatan.

DATUK Bandar Wuhan, Zhou Xianwang mengakui kelemahan dalam mengendalikan krisis wabak koronavirus di negara itu dan gagal menyampaikan maklumat tepat berkaitan perkara itu dengan cepat.

"Kami tidak mendedahkan maklumat tepat pada masanya dan tidak menggunakan maklumat berkesan untuk memperbaiki mutu kerja kami," katanya kepada stesen televisyen CCTV.

Zhou berkata beliau sedia meletak jawatan selepas cara mereka menangani krisis itu dikritik hebat.

Malah Zhou mempertahankan tindakan kerajaan melarang penduduknya meninggalkan daerah itu.

"Kami mengenakan perintah kuarantin untuk mengelakkan penularan virus itu tetapi ia seperti meninggalkan reputasi buruk dalam sejarah.

"Selagi ia membantu menghalang penyebaran virus itu, saya sedia meletak jawatan sebagai satu bentuk permohonan maaf," katanya.

Zhou berkata lebih lima juta penduduknya meninggalkan Wuhan sebelum larangan kuarantin dikuatkuasakan pada 22 Januari lalu.

Namun katanya 1,000 lagi kes dipercayai ada kaitan dengan virus itu akan disahkan oleh pakar.

Susulan itu polisi ketat Beijing mengenai perkongsian maklumat dikecam ramai kerana cuba menangguhkan tindak balas.

Zhou berkata pentabdiran tertinggi di Beijing perlu meluluskan maklumat itu sebelum didedahkan kepada umum. - foxnews.com

Artikel Lain