suria

Dihina 'hodoh' oleh ibu sejak kecil, model buat beratus pembedahan plastik, akan lakukannya sampai mati

MODEL berusia 39 tahun membuat pendedahan di televisyen bahawa dia menghabiskan lebih dari 30 juta yen (AS$280,000) untuk prosedur kosmetik dalam tempoh 21 tahun yang lalu.

Wanita dari Jepun itu berkata dia bertindak sebegitu kerana trauma dengan ibunya yang tidak pernah berpuas hati dengan wajah dan penampilannya sejak kecil sehingga dia membesar.

Tsubaki Tomomi menjalani pembedahan plastik pertama ketika berumur 18 tahun, selepas tamat sekolah menengah.

Ketika berumur 20 tahun, dia telah memperbaiki giginya, menjalani pembedahan membentuk mata dan implan payudara.

Sejak itu usahanya untuk mencantikkan diri tidak pernah berakhir dan dia tidak merancang untuk berhenti melakukannya sehingga dia mati.

Walaupun Tomomi mendakwa melakukan pembedahan plastik adalah cara untuk memastikan dirinya kelihatan muda sentiasa, dia mengakui segalanya bermula pada zaman kanak-kanaknya.

Ibunya selalu mengeluh tentang penampilannya, memanggilnya 'tak sedap dipandang' di depan orang lain, jadi ia seolah telah 'melekat' dalam kepalanya sehingga terus berfikir untuk menjadikan dirinya 'lebih menyenangkan'.

Sebaik sahaja umurnya 'layak' menjalani pembedahan plastik, dia melakukannya.

Dalam temu bual dengan majalah Jepun Caba2, Tomomi berkata sepanjang perjalanan ke sekolah rendah dan menengah, ibunya akan mengeluh tentang penampilannya.

Setiap kali menyambut perayaan, apabila saudara-mara dan rakan-rakan datang dan berkata 'Tsubaki telah sudah meningkat dewasa', ibunya akan menjawab 'dia seorang anak yang tidak sedap mata memandang'.


Walaupun dia berulang kali memberitahu ibunya untuk berhenti memalukannya seperti itu, wanita itu terus melakukannya.

Jadi dia sentiasa berfikir bahawa dia tidak cukup cantik sejak kanak-kanak, justeru beralih kepada pembedahan plastik.

Walaupun Tomomi membayar prosedur kosmetiknya yang pertama dengan wang simpanannya, dia berjaya menjadi salah seorang hos paling popular di Hokkaido pada usia 20-an dan memperoleh banyak wang, yang kebanyakannya dilabur untuk pembedahan plastik.

Dari 'membina' semula rahang, mulut dan hidung, sehinggalah memasukkan 'filler' di muka, dia melakukan beratus-ratus prosedur selama 21 tahun yang lalu.

Pelaburan terkininya adalah prosedur yang dipanggil Intima Laser.

Wanita berusia 39 tahun itu berkata pembedahan plastik hari ini tidak lagi dianggap taboo di Jepun.

Tomomi masih menjadi model dan 'influencer' yang bercita-cita tinggi. Dia aktif di Instagram, Twitter dan Facebook dan juga menulis blog di platform Jepun, Ameba. -Oddity

Artikel Lain