Lelaki 'bersih' gagal ujian alkohol selepas makan durian - Dunia | mStar

Lelaki 'bersih' gagal ujian alkohol selepas makan durian

Seorang pegawai polis melakukan ujian pernafasan sekali lagi bagi mengesahkan dakwaan seorang lelaki bahawa durian telah menyebabkan dirinya ditahan atas tuduhan memandu dalam keadaan mabuk.

SEORANG lelaki di China gagal dalam ujian pernafasan yang dilakukan selepas makan terlalu banyak durian.

Menurut laman video China Pear Video, seorang lelaki yang tidak dinamakan di daerah Rudong, wilayah timur Jiangsu, ditahan oleh polis pada 17 April kerana disyaki memandu dalam keadaan mabuk.

Dia gagal dalam ujian pernafasannya, tetapi video rakaman yang dibuat polis menunjukkan dia membuat bantahan: "Saya baru saja makan buah durian!"

Ujian darah susulan membuktikan bahawa tidak ada alkohol dalam sistem tubuhnya, sekali gus membuktikan lelaki itu 'bersih'.

Tetapi, apa yang berlaku ini juga mendorong polis tempatan untuk melakukan ujian sendiri bagi memeriksa kesahihan dakwaan lelaki itu.

Durian dianggap buah paling busuk di dunia.

Dalam satu siasatan pada 29 April, Pear Video menunjukkan seorang pegawai polis sedang melakukan ujian pernafasan selepas makan beberapa ulas durian dan sah paras alkoholnya sejurus makan buah itu adalah 36mg bagi setiap 100ml.

Had undang-undang untuk kepekatan alkohol dalam darah di China adalah 0.02% - kira-kira 20mg bagi setiap 100ml.

Tiga minit selepas mengambil ujian itu, pegawai polis Yu Pengxiang telah diuji semula dan ujian menunjukkan hasil negatif.

Pear Video kemudian memberi amaran kepada pengguna untuk tidak makan buah yang dianggap paling busuk di dunia itu semasa memandu, bersama produk lain yang mungkin menunjukkan keputusan positif, termasuk beberapa jenama pencuci mulut dan laici.

Hotel dan lapangan terbang antara yang melarang durian dibawa ke premis mereka.

Laporan Pear Video itu telah mendapat banyak komen di media sosial China, dengan ramai yang terkejut, dan ada juga prihatin.

Di laman microblog popular Sina Weibo, pengguna menggesa polis untuk meminta maaf kepada lelaki yang disoal siasat.

"Perlukah kamu membazirkan masa orang yang tidak bersalah, menakutkan mereka dan menyuntik jarum untuk menghapuskan kecurigaan?" tanya seorang pengguna.

Ada juga yang berpendapat bahawa polis mungkin bergantung kepada peralatan yang ketinggalan zaman, berbanding percayakan hidung mereka sendiri.

Ini bukan pertama kali ujian pernafasan menunjukkan hasil positif bagi produk bukan alkohol.

Pada bulan Januari, seorang pemandu lori Australia tular dengan video menunjukkan bahawa makan roti ban panas boleh menghasilkan bacaan positif. -BBC

durian , alkohol , ujian

Artikel Berkaitan

Artikel Lain