suria

Kenali Putera Mahkota Naruhito yang bakal ditabal sebagai Maharaja Jepun

Putera Mahkota Naruhito (kiri) bersama bapanya, Maharaja Akihito. FOTO: BBC

MAHARAJA Akihito, 85, bakal menjadi maharaja Jepun pertama yang turun takhta dalam tempoh 200 tahun.

Siapa yang bakal mengambil alih tempatnya?

Putera Mahkota Naruhito yang berusia 59 tahun bakal menaiki takhta pada Rabu.

Dia merupakan anak lelaki paling tua Akihito.

Naruhito merupakan seorang pemuzik yang gemar aktiviti mendaki dan pernah meluangkan dua tahun mengikuti pengajian tinggi di Oxford.

Beliau pernah menulis tentang sistem pengangkutan di Sungai Thames pada abad ke-18 selepas melengkapkan pengajian sejarah di Universiti Gakushuin, sekolah bagi golongan bangsawan.

Isterinya, Masako pula merupakan seorang bekas diplomat yang mendapat pendidikan di Harvard - kini sedang pulih daripada tekanan tinggi selepas melahirkan anak perempuan, Aiko, dan bukan anak lelaki seperti yang diharapkan.

Aiko, 17 tahun, dilarang daripada mewarisi takhta bawah undang-undang Jepun yang hanya membenarkan lelaki untuk mengangkat gelaran maharaja lalu memberi laluan kepada adik lelaki Naruhito, Fumihito.

Berbalik kepada Maharaja Akihito, baginda tidak seperti maharaja-maharaja sebelum ini yang mana mereka kekal di kedudukan tertinggi dalam hierarki pemerintahan sehingga ke akhir hayat.

Pada Ogos 2016, Akihito yang merujuk kepada umurnya yang meningkat dan kesihatannya yang semakin merosot, menyatakan keinginan untuk turun takhta sementara beliau masih sihat.

Sebagai simbol perlembagaan tanpa sebarang kuasa politik, beliau menyampaikan mesej itu kepada umum yang diterima orang ramai dengan segera dan kemudiannya diterima oleh kerajaan.

Namun, undang-undang imperial di Jepun tiada peruntukan bagi penurunan takhta bagi maharaja yang masih memerintah dan selalunya hanya membenarkan pewarisan selepas kematian.

Oleh hal yang demikian, kerajaan Jepun telah meluluskan satu undang-undang buat satu kali bagi membenarkan penurunan takhta Akihito.- Sinar Harian.

 

Maharaja Akihito, Naruhito

Artikel Lain