suria

Pesakit jantung terkejut, perlu tunggu 2 tahun untuk tarikh pembedahan

SEBULAN lalu, Bahadur Ram terkejut apabila seorang doktor meminta supaya dia kembali ke pusat perubatan di Delhi itu pada 13 Januari 2010 untuk menjalani pembedahan jantung.

Insiden itu berlaku ketika lelaki berusia 66 tahun itu menghadiri temujanji dengan doktor di Institut Sains Perubatan India (AIIMS).

Sejak itu, Ram yang layak mendapat insurans kesihatan sedang berusaha untuk mempercepatkan tarikh pembedahannya.

"Bagaimana boleh doktor berikan tarikh berkenaan kepada bapa saya? Jika keadaan kesihatannya kritikal bagaimana? Apakah pihak hospital akan bertanggungjawab?

"Bapa saya langsung tidak boleh berjalan, dia pesakit jantung," kata anak Ram, Jatin Kumar.

Perkara sama dialami Shakuntala Kumari yang disahkan menghidap kanser servik ketika ke AIIMS pada Jun 2018.

Sejak itu wanita berusia 48 tahun ini masih menunggu  temujanji doktor seterusnya yang dijadualkan pada 12 September 2019.

"Pernahkan anda dengar ahli politik disenaraikan dalam senarai menunggu yang panjang," soalnya.

Situasi sama dialami ratusan pesakit di pusat kesihatan kerajaan di Delhi di mana rata-rata tarikh temu janji yang diberi antara enam bulan dan dua tahun.

Hal ini dikatakan berlaku berikutan peningkatan jumlah pesakit dan masalah kekurangan doktor, katil dan peralatan di hospital kerajaan.

Pegawai Perubatan AIIMS, Dr DK Sharma berkata, hospital berkenaan sememangnya sesak dengan pesakit, kekurangan tenaga kerja, infrastruktur, katil dan peralatan.

"Bagaimanapun, kami masih mencuba untuk memenuhi keperluan setiap pesakit," katanya.

Setiap hari, hampir 15,000 pesakit mendapat rawatan di AIIMS dan kira-kira 2,000 dimasukkan ke wad.

"Jika sesiapa diberi temujanji untuk tempoh lama, ini bermakna ada pesakit lain yang lebih kritikal dan perlu mendapat rawatan segera.

"Sebelum memberi tarikh temujanji, kami akan pastikan pesakit dalam keadaan stabil dan bertanya jika mereka mampu mendapatkan rawatan di tempat lain," kata Dr Sharma.-IndiaToday







Delhi, AIIMS, jantung

Artikel Lain