suria

'Bunyi kuat' buat pengunjung Disneyland Paris panik, bimbang berlaku serangan pengganas

RAKAMAN video menunjukkan pengunjung Disneyland Paris menjerit dan bertempiaran lari selepas bunyi kuat mencetuskan panik orang ramai.

Timbul kebimbangan berlaku letupan di taman tema itu tetapi bunyi kuat tersebut sebenarnya berpunca daripada kerosakan di sebuah eskalator sehingga menimbulkan kekecohan.

Polis bergegas ke taman tema itu selepas menerima panggilan berhubung kekecohan itu kira-kira pukul 9 malam Sabtu.

"Tiada letupan, tiada tembakan, tiada kecederaan. Berlaku kesilapan.

"Jangan percaya kepada khabar angin atau berita yang diperbesarkan. Kehadiran polis adalah memenuhi prosedur operasi standard berikutan apa-apa kejadian," kata jurucakap Disneyland Paris.

Bunyi letupan kuat itu menimbulkan kebimbangan mengenai serangan kumpulan pengganas ISIS yang pernah memberi amaran bahawa Disneyland antara sasaran utama mereka.

"Bunyi kuat itu disebabkan gangguan pada eskalator. Ia tidak berfungsi secara normal dan mencetuskan bunyi bising," kata jurucakap di stesen Marne la Vallee.

Seorang saksi berkata:"Pengawal keselamatan menutup pintu dan pengunjung berkumpul di belakang kedai.

"Keadaan amat panik. Orang ramai menangis. Kami tertanya-tanya apa yang sedang berlaku. Saya bersama dengan anak lelaki saya," katanya. - Metro.co.uk

Disneyland Paris

Artikel Lain